Khamis, 20 September 2018

Pantau aktiviti nikah mutaah libat pelajar IPT

Abu Bakar Hussain
Abu Bakar Hussain
 
 
PARIT BUNTAR - Pas Parit Buntar menggesa Kerajaan Pusat memantau penularan nikah mutaah dalam kalangan penuntut institut pengajian tinggi (IPT) di negara ini.

Timbalan Yang Dipertua (YDP) Pas kawasan itu, Abu Bakar Hussain berkata, gesaan itu dibuat susulan terdapat dakwaan bahawa aktiviti menggalakkan nikah mutaah atau nikah kontrak yang diamalkan golongan syiah giat dipromosikan pihak tidak bertanggungjawab ketika ini.

Menurutnya, dakwaan itu amat membimbangkan memandangkan pelajar yang kurang kefahaman agama akan mudah terpengaruh dengan tawaran sedemikian atas alasan untuk mengelakkan perbuatan maksiat.


“Pendedahan sama juga dimaklumkan kepada saya oleh beberapa tokoh penceramah agama terkemuka mendakwa mempunyai bukti kewujudan aktiviti pemesongan akidah golongan belia Islam itu.

“Modus operandi pihak dipercayai sebuah sindiket perkahwinan segera itu adalah dengan menawarkan pakej kahwin mutaah pada kos tertentu bagi membolehkan si pengamalnya berkahwin untuk tempoh tertentu,” katanya kepada Sinar Harian di sini, hari ini.

Abu Bakar berkata, kebanyakan penuntut IPT tertarik mengambil pakej ditawarkan sindiket berkenaan atas beberapa faktor seperti mengelakkan perbuatan maksiat, mengurangkan kos sara hidup ditanggung sewaktu dalam pengajian dan sekadar suka-suka.

Menurutnya, kerajaan Perak melalui Jabatan Agama Islam Negeri Perak (Jaipk) diminta memantau isu ini dengan lebih serius memandangkan Pas tidak mahu agenda nikah mutaah dijadikan umpan oleh pihak tertentu untuk memesongkan belia Islam daripada ajaran Islam sebenar.

“Atas faktor sebegini, Pas lebih melihat pengenalan amalan poligami terancang berlandaskan syariat adalah kaedah terbaik dalam menangani ancaman aktiviti nikah mutaah yang dilihat golongan belia sebagai jalan pintas terbaik menghalalkan maksiat.

“Sebagai contoh, ada pelajar yang sanggup nikah mutaah kerana mahukan kos pengajian dan sara hidupnya sewaktu belajar di IPT ditanggung si ‘suami’.

“Sekiranya amalan poligami terancang berlandaskan syariat Islam dipandang positif, saya percaya banyak pihak terutama golongan pelajar daripada keluarga susah akan mendapat manfaat di samping tidak menjejaskan institusi kekeluargaan Islam dibina,” katanya.

Tiada ulasan: