Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata kerajaan mengkaji semula projek Forest City kerana unit kediaman percuma di kawasan itu dijadikan insentif untuk pelaburan di China.
Azmin berkata demikian sebagai menegaskan keperluan agar rakyat memahami sebab kerajaan mengkaji semula projek pembangunan berkenaan.
"Apa yang jadi adalah transaksi berkenaan tidak dilakukan di Johor atau di Malaysia.
"Terdapat program khas di mana jika anda melabur sejumlah wang di China, anda dapat unit (kediaman) percuma di Forest City.
"Jadi sudah tentu kita tidak boleh membiarkan perkara itu," kata Azmin dalam sidang media di Kuala Lumpur hari ini.
Jelas Azmin, amalan seperti itu tidak akan menguntungkan ekonomi Malaysia.
"Mereka bayar cukai di China, mereka buat transaksi di China, tapi ia tidak memberi keuntungan kepada kita dan ekonomi di Malaysia. Mereka merancang untuk membawa 700,000 warga China dari tanah besar China untuk menjadi pemilik hartanah di Forest City," katanya.
Tambah Azmin, kerajaan mahu memastikan semua pelaburan dari China perlu memberi bilai kepada warga tempatan dan Malaysia.
"Itu adalah jenis pelaburan yang kita mahu lihat di masa depan," katanya.
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini berkata Malaysia tidak lagi akan membenarkan orang asing membeli unit kediaman di Forest City di Johor.
Bagaimanapun, Forest City menafikan kenyataan Dr Mahathir dan mendakwa perdana menteri itu menyatakan sebaliknya kepada mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan