KUALA LUMPUR – UMNO Bahagian Johor Bahru menyifatkan Menteri
Pendidikan, Dr. Maszlee Malik sebagai seorang individu yang ‘cakap tak
serupa bikin’ apabila menerima pelantikan sebagai Presiden Universiti
Islam Antarabangsa (UIAM).
Pengerusi Biro Pendidikan UMNO Johor Bahru, Mohd. Faiz Silvano
berkata, Ahli Parlimen Simpang Renggam itu telah ‘mencabul’ kenyataannya
sendiri yang pernah menyatakan akan memastikan kerajaan Pakatan Harapan
(PH) tidak akan menyalahgunakan universiti untuk kepentingan politik
termasuk dirinya sendiri.
Menurutnya, langkah Maszlee menerima jawatan itu hanya akan menimbulkan konflik kepentingan dalam sistem pendidikan. Mohd Faiz Silvano
“Ini bukanlah fenomena baru dalam kerajaan hari ini. Berulang kali,
Maszlee dan rakan-rakan dalam kerajaan PH membuat satu janji lalu
mengingkari kata-kata mereka sendiri.
“Polemik ini semakin jelas kelihatan di setiap strata kepimpinan
negara semasa. Mungkin mereka sangka rakyat lupa, atau mungkin mengambil
sikap ‘hantam saja la’,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Mohd Faiz berkata, universiti bukanlah satu tempat mainan politik dan
mahasiswa perlu diberi kebebasan untuk mendapat pendidikan tanpa
dipengaruhi oleh golongan ahli politik.
Malah, pengurusan universiti juga perlu diberi autonomi tanpa kongkongan politikus, katanya.
Tambah beliau, menara gading adalah institusi luhur yang harus dipelihara daripada genggaman sesiapa yang beragenda politik.
Institusi pengajian tinggi juga katanya, bukan hanya untuk melahirkan
masyarakat berbakat, tapi juga berperanan penting dalam menjaga
martabat keilmuan negara.
Sehubungan itu kata beliau, UMNO Bahagian Johor Bahru mendesak
Maszlee menolak jawatan Presiden UIA termasuk Setiausaha Politiknya yang
turut ditawarkan sebagai ahli Lembaga Pengarah Universiti Utara
Malaysia. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan