Pengenalan
Mengikut Kamus Oxford,
perkataan integriti berakar umbi daripada kata sifat integer yang
digunapakai dalam keutuhan sesuatu bangunan. Kemudiannya, lahir pelbagai
definisi integriti yang dikaitkan dengan kualiti kejujuran dan
ketinggian prinsip moral yang dipegang oleh seseorang atau sesuatu
kelompok. Ia mula diketengahkan antaranya sebagai kualiti kejujuran dan
ketinggian prinsip moral yang dipegang oleh seseorang individu.
Kamus Dewan menyatakan
integriti dikaitkan dengan kejujuran. Istilah ini dikaitkan dengan tahap
konsistensi antara nilai moral yang dipegang oleh seseorang yang
ditunjukkan dengan tingkah laku (perbuatan atau perkataan). Dalam Bahasa
Arab, istilah yang digunakan adalah an-Nazaahah (النزاهة). Dari segi Bahasa ia bermaksud menjauhi keburukan dan meninggalkan perkara Syubhat (keraguan).
Apakah sifat utama individu atau institusi yang berintegriti?
Seseorang individu dianggap berintegriti
apabila mereka sentiasa berpegang kepada prinsip moral dan beretika
sama ada bersendirian atau di depan khalayak. Individu berkenaan akan
sentiasa jujur kepada dirinya dan orang lain dengan sentiasa mematuhi
peraturan dan Undang-undang Islam dan negara.
Dalam aspek tadbir urus dan organisasi,
keruntuhan integriti berlaku apabila berbagai kepincangan moral
mengambil tempat seperti amalan rasuah dan pecah amanah. Mereka akan
cuba mencari peluang melakukan penyelewengan demi kepentingan peribadi.
Dalam konteks kepimpinan, integriti
menjadi teras yang sangat penting untuk dijadikan asas penilaian kepada
keberkesanan barisan kepemimpinan semasa dalam apa jua situasi. Ini
selaras dengan konsep "kepimpinan melalui teladan". Seseorang pemimpin
yang berintegriti bukan sahaja perlu 'bersih', tetapi juga perlu
kelihatan 'bersih' pada setiap masa. Dalam sejarah peradaban manusia,
terlalu banyak contoh menunjukkan kejatuhan pemimpin yang tidak
berintegriti atau yang terpalit dengan isu dan skandal yang tidak dapat
dipastikan kebenarannya.
Dalam konteks kepimpinan dalam sesuatu
organisasi, integriti pemimpin yang boleh dipersoal akan menyebabkan
integriti organisasi atau kumpulan manusia yang dipimpinnya turut
dipertikaikan. Pada masa yang sama, dilema dihadapi pengikut adalah
sejauh mana perlunya mereka untuk terus taat dan setia kepada pemimpin
yang memiliki integriti diri yang meragukan. Justeru, pemimpin sedia ada
perlu sedar bahawa peranan mereka amat memberi impak kepada pengikut
yang ada, kerana figura pemimpin ini dipandang bukan hanya dari kaca
mata zahir pengikutnya.
Memetik kata-kata cendekiawan Albert Einstein:
"Integrity without knowledge is weak and useless, and knowledge without integrity is dangerous and dreadful..."
Isu integriti semasa
Dalam konteks politik Malaysia, Umno
didakwa mendahului parti lain dalam isu pelanggaran terhadap prinsip
integriti. Sejak tahun 1990-an sebagai contoh, isu politik wang
dibincangkan secara meluas dalam pelbagai wacana. Dalam pemilihan Majlis
Tertinggi Umno (MT), wang digunakan bagi membeli undi. Isu ini didakwa
berlaku sehingga terdapat ramai calon dalam pemilihan MT yang dibatalkan
pencalonan kerana politik wang. Lebih malang, isu ini disebut di dada
akhbar seperti ucapan Datuk Azmi Che Husain, bekas calon Umno Kedah,
beliau mendakwa menerima laporan mengenai rasuah dan sedang mendapatkan
maklumat dan bukti lebih terperinci.
Beliau yang menjadi wakil rakyat di
Kedah pada 2008 hingga 2018 berkata, ada sogokan diberi kepada ahli
parti bagi memilih calon terbabit.
“Laporan kita terima di Baling pun
berlaku. Dalam pemilihan Wanita pun saya dapati berlaku. Kita tunggu
perwakilan berani ke hadapan buat laporan.
“Kami akan dapatkan maklumat dan bukti
berkaitan laporan lisan yang diterima. Kita tidak akan beri ruang kepada
pemberi dan penerima rasuah,” katanya kepada Sinar Harian, di sini semalam.
Ini juga berlaku di Melaka seperti laporan akhbar NST;
SEORANG ahli politik Umno di Melaka yang
ditahan reman tahun lalu kerana kes rasuah membabitkan lebih RM150
juta, dijangka didakwa tidak lama lagi.
New Sunday Times (NST)
melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tahun lalu
menyita lebih RM150 juta dalam bentuk wang tunai, kenderaan, aset dan
dokumen .
Pihak SPRM dilaporkan berkata, kemerosotan kedudukan Malaysia dalam Indeks Tanggapan Rasuah (CPI) terbaru Transparency International Malaysia (TI-M) hari ini mengejutkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri
Dzulkifli Ahmad pernah menyatakan, Malaysia sepatutnya berada pada
kedudukan lebih baik jika tindakan agresif serta tangkapan dibuat agensi
itu diambil kira.
“Bagi saya indeks pada tahun ini - kalau
mengikut realiti dalam negara dan tindakan yang dah diambil oleh SPRM
itu - maka sepatutnya indeks tersebut adalah berada pada kedudukan yang
lebih baiklah berbanding 2016.
“Itu jangkaan saya, tapi saya tak boleh kata (kita berada) di kedudukan mana.
“Sebab itu saya katakan saya agak
terkejut dengan laporan yang dikeluarkan kerana ia tak selaras dengan
realiti, tindakan, pencegahan dan pendidikan yang agresif yang kita
laksanakan pada tahun 2017,” kata Dzulkifli dalam sidang media di
Akademi SPRM, Kuala Lumpur hari ini.
Senarai CPI terbaru meletakkan Malaysia
di kedudukan setaraf dengan Negara Komunis Cuba di kedudukan ke-62
berbanding 55 pada 2016.
Penglibatan parti politik dalam kegiatan
tidak berintegriti ditunjukkan oleh laporan Menteri di Jabatan Perdana
Menteri, Datuk Seri Paul Low mengisytiharkan di Parlimen bahawa seramai
92 pemimpin parti politik telah disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan
Rasuah Malaysia (SPRM) antara 2013-2017.
Fakta menunjukkan bahawa 71 orang
daripadanya adalah daripada Barisan Nasional (BN) manakala selebihnya 21
orang dari parti komponen Pakatan Harapan (Harapan).
Dewan Pemuda PAS Pusat dalam kenyataan mereka menyebutkan:
1. Kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah CPI dilaporkan Transparency International
membuktikan Kerajaan BN dan PH tidak bersungguh dalam menangani rasuah.
Walaupun kajian persepsi ini tidak melibatkan tangkapan atau kes
mahkamah, ia menunjukkan keyakinan rakyat terhadap belenggu ini sukar
dihapuskan.
2. Tambahan pula, ia mungkin
dipengaruhi skandal-skandal yang sangat mendekati rasuah sepertimana
berlaku kepada Jabatan Bekalan Air Sabah, 1MDB, Felda Global Venture,
MARA, terowong dasar laut Pulau Pinang dan banyak lagi. Semuanya
dikaitkan dengan pihak pemerintah BN termasuk dari blok PH.
3. Peningkatan persepsi ini tentu
juga atas kesedaran semasa rakyat, selain telah lali melihat ‘lakonan’
orang politik yang tidak telus dan cekap mengurus dana dari ribuan
hingga billion ringgit. Selain itu tidak membawa kepada penyelesaian
sewajarnya ke pengadilan mahkamah, menjadikan tangkapan dan siasatan
bagai sandiwara. - HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan