Bahagian satu: Fakta dan figura
● Undi PAS melonjak
Berbanding PRU14 di mana PAS hanya
memperoleh sebanyak 4,563 undi, PRK ini PAS berjaya meningkatkan undi
sehingga 9698. Dari segi peratusan, PAS berjaya memperoleh 41.40 peratus
dari keseluruhan undi diterima berbanding hanya 13.72 peratus pada
PRU14. Ini bermakna PAS berjaya meningkatkan sokongan sehingga 201.74
peratus.
Fenomena ini agak ajaib dalam sejarah
PRK bagi sebuah parti yang tidak menjadi kerajaan. Mengikut rekod, 95
peratus PRK yang berlaku didominasi oleh parti pemerintah. Jika berlaku
perubahan seperti PRK Kuala Terengganu 2009 dan Sibu 2010, peningkatan
undi adalah sangat kecil, tidak sampai 10 peratus.
● Undi PH menurun
PH terus mengekalkan prestasi buruk
selepas PRU14 apabila sekadar memperoleh 15,427 undi daripada 23998 pada
PRU14 di Sungai Kandis. Bagi Balakong pula, PH juga menurun apabila
meraih hanya 22508 undi daripada 35,538 pada PRU14. Begitu juga di Seri
Setia, PH meraih hanya 13725 berbanding 29,250 PRU14 lalu.
Mengikut peratus , PH hilang 35.72 peratus undi di Sungai Kandis, 36.67 peratus di Balakong dan 53.08 peratus di Seri Setia.
Dari segi majoriti, margin kemenangan PH
jatuh di Sungai Kandis dengan 5842 undi berbanding 12480 pada PRU14. Di
Balakong juga sama apabila hanya meraih 18,533 majoriti berbanding
35,538 PRU14, dan 5,842 berbanding 19,372 pada PRU14 di Seri Setia.
● Undi UMNO menjunam
Walaupun PRK Sungai Kandis berlangsung 1
lawan 1 dengan PAS memberi laluan kepada Umno, namun undi terhadap Umno
semakin berkurangan dengan hanya memperoleh 9585 undi berbanding 11,518
PRU14.
● Undi MCA masih lemah
Kekalahan terbesar pada siri PRK kali
ini adalah buat MCA, apabila hanya mampu mendapat 3,975 berbanding 5874
pada PRU14. Walau bagaimanapun, peratusan undi meningkat daripada hanya
10.90 peratus kepada 15.14 peratus daripada jumlah undi yang diterima.
Prestasi mereka dikira teruk kerana PRK
kali ini menyaksikan pertembungan dua penjuru sahaja berbanding tiga
penjuru pada PRU14. Pada PRU14, PAS memperoleh 6230 undi, lebih tinggi
daripada MCA yang bertanding atas tiket BN.
● Jumlah turun mengundi lemah
Perkara ini bukanlah biasa setiap kali
berlaku PRK sejak zaman berzaman. Namun trend keluar mengundi yang
semakin menjunam bermula dari Sungai Kandis (49 peratus) hingga Balakong
(43 peratus) dan Seri Setia (44 peratus). Ini menjadikan dua PRK
terakhir ini sebagai PRK dengan pengundian paling rendah dalam sejarah.
Rekod paling rendah keluar mengundi sebelum ini dipegang oleh PRK
Penanti 2009 (46 peratus) dan Chempaka 2015 (55 peratus). Walau
bagaimanapun, dua PRK tersebut masih tidak sama dengan Balakong dan Seri
Setia kerana Penanti dan Chempaka tidak melibatkan pertandingan apabila
yang bertanding hanya satu calon dari parti berdaftar manakala lawannya
adalah bebas.
Bahagian dua: Bacaan dan analisa
● Strategi PAS positif
PAS memasuki gerbang PRK dengan
pendirian yang masih sama seperti PRU14, bagi membawa penyelesaian
kepada kebobrokan negara. Musuh PAS juga sama iaitu PH. Soal kerjasama,
PAS juga masih kekal dengan pendirian menerima sesiapa jua yang mahu
bersama asalkan menguntungkan agama.
Sikap PAS dengan Umno sehingga kini
masih sama seperti PRU14, tidak kira sama ada mereka berkuasa ataupun
tidak. Cuma yang berbeza, PAS kali ini bertanding dua penjuru dengan PH,
berbeza dengan PRU14 yang memperlihatkan pertembungan tiga penjuru.
Peningkatan undi sebagaimana yang
tercatat semalam memberi gambaran bahawa pendekatan PAS diterima rakyat
walaupun media memberikan gambaran negatif terhadap prinsip PAS ini.
Boleh jadi rakyat mula menyedari kepentingan memperjuangkan agama
setelah ancaman mula kelihatan di bawah kepimpinan PH.
● PAS lebih diminati pembangkang
Jika dibanding keputusan ketiga-tiga
PRK, PAS lebih diminati berbanding Umno atau MCA di kalangan
pembangkang. Walaupun demografi Sungai Kandis dan Seri Setia juga hampir
sama dengan melayu membentuk sekitar 52 peratus sokongan, namun
keputusan di antara keduanya jauh berbeza apabila PAS meningkatkan
sokongan melebihi 200 peratus di Seri Setia tetapi Umno jatuh 17 peratus
di Sungai Kandis.
● Parti berasaskan kaum sudah tidak relevan
Kekalahan MCA pada PRK Balakong memberi
signal jelas penolakan rakyat terhadap parti berasaskan kaum tersebut.
Perkara ini sudah boleh dikesan awal kerana walaupun Cina membentuk 55
peratus populasi pengundi, tetapi MCA bersaing dengan DAP yang juga
meletakkan calon berketurunan Cina. Bezanya, DAP bertanding atas tiket
PKR yang dilihat lebih universal merentas sempadan kaum.
MCA cuba menggunakan taktik bertanding
atas logo sendiri kerana mungkin mereka menilai yang ditolak oleh rakyat
adalah BN, atau mungkin mereka cuba membebaskan diri dari bayangan Umno
yang sinonim dengan dacing. Tetapi faktanya ia tidak merubah apa-apa.
Sungai Kandis dan Balakong memperlihatkan penolakan rakyat dan konsisten
terhadap koalisi yang pernah memerintah Malaysia lebih separuh abad
itu.
● Peluang cerah di kawasan majoriti Muslim tinggi
Fokus di kerusi Seri Setia, pencapaian
yang diraih PAS boleh dikatakan sangat memberangsangkan kerana kerusi
tersebut adalah kerusi campuran melibatkan 51 peratus pengundi Melayu
sahaja. Sebelum ini ia bukanlah kerusi fokus bagi PAS. Walau
bagaimanapun, PAS berjaya meraih 41 peratus undi rakyat. Jika
dianggarkan bahawa kesemua pengundi PAS adalah Melayu, maka PAS telah
berjaya meraih sokongan lebih 80 peratus. Jika trend ini berlaku di
kawasan majoriti Melayu lebih besar seperti 65 peratus ke atas, peluang
PAS untuk menang adalah sangat cerah.
● PAS mesti memimpin kerjasama Islam
Jika dikira secara stereotaip,
sepatutnya trend sokongan di Sungai Kandis dan Seri Setia sepatutnya
sama. Ini kerana walaupun ditandingi oleh dua parti yang berbeza, tetapi
kedua-dua parti ini menggunakan pendekatan yang sama iaitu menzahirkan
persefahaman dan kerjasama di khalayak ramai.
Walaubagaimanapun, keputusan menunjukkan sebaliknya apabila Umno merudum di Sungai Kandis namun PAS meningkat di Seri Setia.
Ini memberi signal seolah-olah rakyat
hanya merestui kerjasama atas nama agama dipimpin oleh PAS, bukan oleh
Umno. PAS yang sepatutnya berada di hadapan dan Umno perlu lebih low
profile membantu daripada belakang. Mereka perlu diberikan lebih masa
untuk berehat memulihkan keadaan.
Koalisi model Gagasan Sejahtera adalah
pilihan yang tepat bagi meneruskan kesinambungan kerjasama. PAS memimpin
gabungan dan komponen lain membantu dengan pengaruh masing-masing.
Dasar dan disiplin ditentukan oleh PAS tetapi tidak bersifat penting
diri, tapi demi kepentingan Islam sesuai dasar PAS.
● Fokus raih sokongan maksimum Muslim
Sokongan yang diperolehi pada PRK Seri
Setia mungkin tidak boleh dijadikan petunjuk yang mutlak. Ini kerana
peratus keluar mengundi yang paling rendah adalah dari kalangan Melayu
sendiri. Tidak mengundi boleh jadi kerana menolak PH, tetapi tidak
bermakna menyokong aspirasi PAS.
Justeru fokus PAS perlu dioptimumkan
kepada meraih sokongan daripada Muslim agar kesemua umat Islam bersatu
atas wadah politik yang sama. Dengan dasar dan perjuangan PAS yang
sememangnya Islam, perkara ini bukanlah sukar. Asalkan PAS tidak
bersikap apologetik dan dilihat terlalu meraikan tuntutan bukan Islam,
masa depan untuk PAS adalah cerah.
● Protes terhadap PH kuat
Penurunan undi yang ketara berbanding
PRU14 menunjukkan rakyat sangat tidak berpuas hati dengan prestasi parti
pemerintah sekarang. Perkara ini dipercayai kerana sikap mungkir janji
PH dan lidah bercabang yang sangat berbeza semasa menjadi pembangkang
dan pemerintah.
Walaupun mereka masih mengekalkan
kemenangan pada kesemua PRK, namun kesemuanya jatuh merudum. Ini berbeza
dengan trend biasa PRK zaman berzaman yang memperlihatkan ianya menjadi
medan parti pemerintah memperkukuhkan kedudukan.
● Demokrasi dalam bahaya
Perkembangan yang menunjukkan tahap
keluar mengundi yang lemah memberi signal yang tidak sihat bagi
demokrasi negara. Dengan tidak sampai separuh daripada jumlah pemilih
berdaftar keluar mengundi, ini menunjukkan pemenang PRK ini tidak
mewakili suara majoriti rakyat kawasan berkenaan. Trend yang sama dari
ketiga PRK menunjukkan sikap mutakhir rakyat kepada proses demokrasi
dalam negara.
Mereka melahirkan kekecewaan kerana
melihat pilihan raya tidak merubah nasib mereka. Harga barang terus
melambung, ringgit terus menjunam, keadilan masih di takuk lama, malah
agama pula semakin diperkosa. Perubahan melalui pilihan raya tidak
bermakna apa.
PH harus bertanggungjawab dengan situasi
yang tidak sihat ini. Sebagai kerajaan, sesuatu perlu mereka lakukan
sebelum kesedaran politik rakyat Malaysia terus lemah. Negara baru
sahaja mengalami anjakan paradigma apabila berani mengubah parti
pemerintah buat pertama kali dalam sejarah demokrasi. Tetapi trend yang
ditunjukkan tiga PRK ini sangat bercanggah dengan mood PRU14. Seolah kembali mengundur ke belakang.HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan