Selasa, 4 September 2018

Kereta Perodua sedikit lebih murah sekarang berbanding era GST

MALAYSIAKINI

   
Kebanyakan model kereta yang ditawarkan oleh Perodua lebih murah sekarang, di sebalik pelaksanaan SST, berbanding tempoh ketika GST diperkenakan.

Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd, Zahari Husin berkata kebanyakan model adalah sekitar satu hingga tiga peratus lebih murah.

"Berdasarkan struktur cukai baru, hampir semua model Perodua menyaksikan penurunan harga berbanding struktur harga GST," katanya dalam satu kenyataan.

Mengikut laman web automotif paultan.org, satu-satunya model Perodua yang sedikit lebih mahal selepas pasca SST (tanpa insurans) adalah model Alza jenis asas.

Laman web itu juga melaporkan bahawa model Axia 1.0 Standard E jenis manual menyaksikan penurunan harga paling ketara. Ia kini 4.07 peratus lebih murah berbanding sebelum 1 Jun.

Dalam perkembangan berkaitan, Proton mengumumkan bahawa syarikat itu akan menyerap bayaran SST untuk bulan ini sahaja.

"Walaupun Proton mengakui bahawa SST akan menjejaskan harga kereta, untuk September kami akan menyerap SST untuk semua model bagi memberi pembeli masa tambahan membuat pembelian.

"Ini akan memberi manfaat kepada mereka semasa tempoh peralihan ini dan juga membantu Proton mengekalkan momentum jualannya," kata Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Abdul Rashid Musa.

Proton berjaya menjual 9,501 kereta pada bulan Ogos - bulan terbaiknya sejak Julai 2015.

Tiada ulasan: