Rabu, 19 September 2018

Kebarangkalian pimpinan Umno keluar parti akan berlaku lagi bukan kejutan, kata penganalisis

 
 Kebarangkalian pimpinan Umno keluar parti akan berlaku lagi bukan kejutan, kata penganalisis

Umno tidak sama seperti dahulu yang memungkinkan kebarangkalian untuk pimpinan utama parti itu mengikut jejak pemimpin terdahulu untuk keluar parti bukan menjadi satu kejutan.

Prof Dr Sivamurugan Pandian
Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Dr. P. Sivamurugan berkata,keputusan dibuat Datuk Seri Mustapa Mohamad dan Datuk Seri  Anifah Aman akan memberikan lebih banyak implikasi menyebabkan Umno dilihat tidak lagi kukuh.

“Mereka merasakan tiada perubahan yang berlaku kepada Umno semenjak tewas pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 yang lalu

“Jikalau dilihat, kemungkinan wujudnya sesuatu yang tidak menentu di dalam pemerintahan Umno sejak kebelakangan ini menyebabkan wujudnya krisis kepimpinan, keyakinan dan pelbagai lagi isu dalaman antara punca mereka keluar parti,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Dr Sivamurugan juga berkata, tindakan pimpinan utama Umno keluar parti ini tidak akan hanya berhenti di situ bahkan akan ada tindakan sama bakal dilakukan kelak.

“Kemungkinan pada masa hadapan juga kita boleh lihat, beberapa lagi ahli majlis tertinggi Umno untuk buat tindakan yang sama dan ianya bukan sesuatu yang mengejutkan jika ia berlaku.” ujarnya.

Beliau juga berpendapat, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) merupakan parti yang terbaik buat sekiranya ingin meneruskan perjuangan politik bagi ahli Umno yang meninggalkan parti.

“Bersatu memiliki serpihan daripada pemimpin Umno yang lepas, pada saya, ianya adalah langkah terbaik untuk mereka beralih kepada parti berkenaan,” ujarnya.

Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed mengumumkan keluar Umnoselepas lebih 40 tahun berkhidmat dalam parti itu semalam kemudian disusuli Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman hari ini.

Sebelum ini tiga Ahli Parlimen Umno bertindak keluar parti adalah Ahli Parlimen Masjid Tanah Datuk Mas Ermieyati Samsudin, Ahli Parlimen Bukit Gantang Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal dan Ahli Parlimen Bagan Serai Datuk Noor Azmi Ghazali.

Tiada ulasan: