Ahad, 16 September 2018

JANGAN GANGGU KERJASAMA PAS-UMNO




UMNO Arau memberi amaran kepada parti lain supaya tidak mengganggu hubungan kerjasama antara PAS dan UMNO dengan menyebarkan provokasi dan fitnah tidak benar mengenainya.

Ketua UMNO Bahagian Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim, berkata UMNO Perlis sudah tidak peduli dengan ugutan dari parti lain khususnya dalam komponen Barisan Nasional (BN) sekiranya UMNO masih ingin teruskan kerjasama bersama PAS.

“Buatlah apa depa (mereka) nak buat, kami sudah tidak kisah kerana apa yang lebih penting sekarang ialah semua rakyat mesti disatupadukan.

“Semua orang sekarang ini sedang buat perangai, silap sikit ugut nak keluar (BN). Kalau macam itu bagaimana rakyat nak percaya dengan kita?” katanya ketika ditemui NSTP di Yayasan Pok dan Kassim di Kangar, pada Ahad.

Shahidan turut menempelak MCA selepas kenyataan Presidennya, Datuk Seri Liow Tiong Lai, baru-baru ini seakan mengugut bahawa ikatan BN akan terlerai jika UMNO jalin kerjasama bersama PAS yang didakwa parti ekstrem agama dan bersifat perkauman .

“MCA kena ingat, bahawa selama ini yang betul-betul ekstrem ialah DAP kerana mulut mereka lantang dalam memaki hamun BN dalam PRU (Pilhan Raya Umum) 14 sebelum ini berbanding PAS.

“Perkataan ekstrem itu perlu dinilai semula kerana saya percaya, melalui kerjasama PAS dan UMNO, MCA juga boleh berlapang dada untuk turut serta dalam kerjasama ini.

“Prinsip saya mudah, jika ada orang yang ekstrem dan tegang di situlah kita kena rapat dengan mereka untuk mengendurkan semula ketegangan itu,” katanya.

Katanya, BN di Perlis kini sudah ada perancangan dan strategi untuk dibincangkan bersama PAS Perlis bagi mengukuhkan lagi pentadbiran negeri.

Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menghadiri Muktamar Tahunan PAS ke-64 di Stadium Tertutup Gong Badak, Terengganu.

Kehadiran Ahmad Zahid di Muktamar parti itu menguatkan desas desus bahawa kedua parti berkenaan kini jalin kerjasama sebagai parti pembangkang selain beberapa perwakilan PAS turut memberi ‘lampu hijau’ ke arah memakmurkan kerjasama PAS-UMNO.


Tiada ulasan: