Ahad, 16 September 2018

ANWAR BIMBANG DISABOTAJ ‘KEM AZMIN’



Keputusan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak bertanding di Parlimen Pandan dipercayai kerana kebimbangan akan disabotaj kem Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Disebabkan itu, Presiden PKR itu membuat keputusan untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) dengan mengosongkan kerusi Parlimen Port Dickson buatnya.

Menurut bekas Menteri Besar Selangor, Dr Khir Toyo, berkata Anwar juga bimbang untuk mengosongkan kerusi Pandan yang dimenangi isterinya yang juga Timbalan Perdana Menteri sekiranya Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad gagal menunaikan janjinya.

Anwar bimbang sekiranya episod yang pernah dilaluinya pada 1998 akan berulang sekali lagi selepas Pakatan Harapan (PH) menguasai Putrajaya.

“DSAI tidak bertanding di Pandan kerana beliau tahu akan berlaku sabotaj dari kem Azmin Ali, semua tahu orang kuat PKR di selangor, Amirudin dan Zuraida (Kamaruddin) adalah pendukung kuat Azmin Ali.

“Bertanding di Pandan bererti akan kosong kerusi Timbalan Perdana Menteri, ini bermakna DSAI akan menjadi TPM selepas memenanginya, satu perkara yang DSAI amat takuti kerana DSAI tidak mahu berada di bawah tangan Tun Dr Mahathir, jika ini berlaku tidak mustahil peristiwa lama akan berulang.

“Jika berlaku satu lagi peristiwa buruk sama ada ianya betul atau sebaliknya, ia akan menguburkan hasratnya untuk menjadi PM sama sekali. Selagi Tun Mahathir tidak boleh mengambil sebarang tindakan malah tiada di bawah kawalan Tun Mahathir, selagi itulah peluangnya untuk menjadi PM kekal cerah,” tulis Dr Khir di Facebooknya.

Sebelum ini, Datuk Danyal Balagopal Abdullah mengumumkan keputusannya untuk meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Port Dickson bagi memberi laluan kepada Anwar.

Ia sebagai langkah pertama dalam usaha untuk menobatkan Anwar sebagai Perdana Menteri kelapan.

Sementara itu kata Dr Khir, lebih cepat Anwar masuk Parlimen adalah lebih baik kerana ia boleh melakukan persiapan dan mengatur strategi untuk menggantikan Mahathir sebagai Perdana Menteri.


Tiada ulasan: