Isnin, 17 September 2018

Gobind: Telco perlu kemuka cadangan pakej baru jalur lebar akhir bulan ini

Gobind berkata selepas cadangan pakej baru yang dikemukakan 
kepada SKMM dilaksanakan, harga jalur lebar turun dan 
kelajuan meningkat hujung tahun.
KUALA LUMPUR: Syarikat telekomunikasi diberi tempoh sehingga 30 Sept ini untuk mengemukakan cadangan pakej baru jalur lebar kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo.

“Saya berharap selepas cadangan pakej baru dikemukakan kepada SKMM, kita boleh laksanakan dan selepas itu lihat harga jalur lebar turun dan kelajuannya meningkat menjelang hujung tahun ini,” katanya menerusi catatan di laman Twitter rasmi beliau, semalam.

Beliau menjelaskan sebelum ini cadangan pakej baru perlu dikemukakan sebelum 31 Ogos, namun wujud permohonan supaya ia dilanjutkan sehingga 2 tahun.

“Kita tolak. Lanjutan diberi sehingga 30 Sept. Ini kerana SST (cukai jualan dan perkhidmatan) dilaksana pada 1 Sept dan perlu selesaikan isu tertentu seperti prepaid (prabayar) dulu. Tiada lanjutan masa lagi diberikan,” katanya.

Gobind Singh turut berkata beliau akan mengadakan mesyuarat dengan semua syarikat telekomunikasi selepas 30 Sept.

Tiada ulasan: