Jumaat, 7 September 2018

Gaji minimum RM1,050: Hak golongan B40 dicabul – MTUC

Wartawan MalaysiaGazette

MGF01062018_HUMAN-INTEREST-GST10-681x453
Sebahangian pekerja Mydin melakukan pertukaran harga pada setiap barangan keperluan berikutan bermulanya 1 Jun Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) ditetapkan pada kadar sifar seperti yang diumumkan kerajaan semasa tinjauan lensa Malaysia Gazette di Mydin Mall, Subang Jaya, Selangor. foto AFFAN FAUZI,
 

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mendakwa kerajaan mengkhianati golongan B40 kerana masih mempromosikan buruh murah meskipun negara sudah 61 tahun mencapai kemerdekaan.

Malah, cadangan gaji minimum sebanyak RM1,050 itu menunjukkan kerajaan gagal untuk memberi pertimbangan upah gaji yang realistik bagi pekerja seperti yang diumumkan dalam Laporan Tahunan Bank Negara Malaysa 2017.

Pada masa sama gaji pengurusan tertinggi terus melonjak berdasarkan kadar pasaran yang dicipta oleh korporat.

Sambil menyifatkan Kerajaan Pakatan Harapan tidak sensitif dan tidak melakukan perubahan terhadap kesengsaraan pekerja-pekerja B40, Setiausaha Agung MTUC, J Solomon berkata, pekerja asing di sektor pembinaan pun tidak akan bekerja dengan upah kurang daripada RM70 sebulan, sedangkan gaji minimum sehari bagi pekerja tempatan adalah RM35.

Katanya, laporan pada tahun 2016 juga mendakwa pelarian Rohingya enggan bekerja dengan gaji RM1,500 sebulan.

“Dan, kerajaan baharu pula memperkenalkan gaji minimum bagi golongan miskin di Malaysia sebanyak RM1,050,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Solomon yang pernah menggesa tenaga buruh di Malaysia menyokong Pakatan Harapan sebelum menjelang Pilihan Raya Umum lalu berkata, Malaysia adalah satu-satunya negara di Asia Tenggara yang mengesahkan Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) 138 Perbelanjaan Upah Minimum, malangnya gagal mematuhi syarat asas konvensyen tersebut dalam penetapan gaji minimum.

“Kenaikan sebanyak RM50.00 dari RM1,000.00 hanyalah satu jumlah yang amat kecil manakala peningkatan RM130 kepada RM1,180 untuk Sabah dan Sarawak masih berada di bawah garis kemiskinan di Sabah,” ujarnya.

Dalam kenyataan kecewa itu, Solomon berkata, selepas penangguhan selama 18 bulan untuk kajian pertama dan penangguhan enam bulan untuk semakan kedua, cadangan kenaikan gaji minimum itu untuk sikap kerajaan yang tidak mengendahkan nasib pekerja miskin.

Tambahnya, ketidakadilan yang dilakukan kepada golongan B40 oleh kerajaan lama kerana menangguhkan kajian semula gaji minimum pada tahun 2015 tidak ditangani oleh Kerajaan Pakatan Harapan.

Beban bertambah apabila pelaksanaan kenaikan gaji minimum baru hanya dikuatkuasakan pada Januari 2019.

“Pekerja-pekerja ini telah menderita sejak akhir 1970an. Kami tidak mampu hidup dengan gaji yang rendaha dan kenaikan kos sara hidup.

“Kami bertahan dari hari ke hari ke atas pendapatan yang dipinjam tanpa simpanan untuk masa depan, sedangkan gaji pengurusan atasan terus meningkat melangkaui imaginasi,” katanya.

Pemansuhan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) tidak menurunkan harga barang kecuali semasa sifar cukai itu tetapi pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) kembali menjejaskan perbelanjaan B40.

Lebih menyukarkan apabila kebanyakan syarikat besar tidak lagi memerlukan pekerja dan menggantikannya dengan robot.

Situasi ini terus membenarkan majoriti majikan obses dengan keuntungan dan meningkatkan keuntungan yang lebih tinggi untuk secara proaktif hingga menolak untuk berkongsi kekayaan mereka secara saksama seperti dahulu.

Kerajaan sebelum ini tidak mengambil langkah untuk memastikan pembahagian kekayaan yang adil dalam kalangan rakyat Malaysia dan nampaknya kerajaan baru juga tidak bezanya.

Firma-firma perniagaan telah lama mengabaikan kewajipan mereka dalam menghormati hak asasi manusia menerusi operasi mereka dan Kerajaan Pakatan Harapan pula membantu mereka dalam aspek ini.

Kata Solomon, kenaikan gaji minimum sebanyak RM50 itu mengulangi sikap kerajaan lama yang hanya mementingkan perniagaan, pada masa mengabaikan kehidupan golongan B40.

“Sebab itu walaupun sudah 61 tahun merdeka, kerajaan masih mempromosi wujudnya buruh murah di Malaysia untuk menjadikan negara ini syurga pelabur asing dengan perbelanjaan pekerja tempatan, supaya golongan ekspatriat dapat membeli hartanah.

“Sedangkan rakyat Malaysia bekerja di Singapura, Australia dan negara membangun yang lain untuk mendapatkan kehidupan lebih baik,” katanya.

Antara tahun 2000 dan 2008 semasa pertumbuhan produktiviti buruh adalah 6.7 peratus, pertumbuhan gaji hanya 2.6 peratus.

Ketidaksamaan pendapatan berada di puncaknya dan Malaysia terperangkap dalam kumpulan berpendapatan sederhana kerana kekayaan tidak dikongsi dengan adil.

Kini apabila pencuri merompak kekayaan Malaysia, kerajaan dan perniagaan ingin sosialisasi kerugian mereka dengan buruh miskin, ini adalah ketidakadilan yang luar biasa.

Solomon berkata, MTUC mahu mengingatkan adalah kurang bijak bagi mana-mana kerajaan yang tidak menghormati pekerja-pekerja dan membiarkan buruh dimanipulasi.

“Pekerja akan bersatu untuk melawan sesiapa sahaja yang melemahkan maruah mereka,” tegasnya. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: