Isnin, 17 September 2018

DAP bentuk jawatankuasa khas bantu kemenangan Anwar di PD


Roketkini.com

DAP Negeri Sembilan akan membentuk jawatankuasa khas bagi membantu kemenangan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan bertanding mewakili Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson, lapor Sinar Harian.

Pengerusinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, keputusan Anwar untuk bertanding di kawasan itu adalah langkah tepat sebagai persediaan sebelum beliau dilantik menjadi Perdana Menteri kelapan.

Menurutnya lagi, DUN Lukut dalam kawasan Parlimen Port Dickson yang diwakili DAP mewajarkan lagi sokongan padu parti kepada Anwar.

“Kepimpinan DAP negeri ini menyokong sepenuhnya pencalonan Anwar di Port Dickson, kita akan memberi bantuan sehingga ke akar umbi bagi memastikan Anwar menang di situ.

“Pengundi Parlimen Port Dickson perlu keluar untuk mengundi kerana mereka memilih bakal Perdana Menteri ke lapan, pertandingan Anwar di situ adalah langkah yang tepat dalam membantu beliau sebagai persediaan sebelum dilantik sebagai PM,” katanya yang juga Setiausaha Organisasi DAP seperti dipetik akhbar itu baru-baru ini.




Anthony yang juga Menteri Pengangkutan turut menzahirkan keyakinan bahawa ekonomi dan pembangunan Negeri Sembilan akan terjamin jika Anwar menjadi Perdana Menteri.

“Kita yakin jika Anwar menjadi PM sudah pasti ekonomi dan pembangunan Negeri Sembilan akan dibantu melalui kerajaan persekutuan,” ujarnya.

Penyandang Parlimen Port Dickson Datuk Danyal Balagopal Abdullah mengumumkan peletakan jawatannya bagi memberi laluan kepada Anwar untuk bertanding di kerusi berkenaan.

Danyal yang merupakan bekas pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menewaskan calon Barisan Nasioanl Datuk V.S. Mogan dan calon PAS Mahfuz Roslan dengan majoriti 17,110 undi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu.

Parlimen Port Dickson memiliki lima DUN iaitu Chuah dan Lukut masing-masing dikuasai DAP, Bagan Pinang dan Linggi (BN) dan Sri Tanjung (PKR).

Parlimen Port Dickson (dulu Telok Kemang) dikuasai PKR selama tiga penggal sejak 2008. – Roketkini.com


Tiada ulasan: