Isnin, 17 September 2018

Anwar selar pandangan sinis golongan muda



Anwar selar pandangan sinis golongan muda

Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menolak pandangan sinis segelintir golongan muda bahawa beliau sudah tua dan tidak lagi relevan untuk memimpin.

Anwar yang baru-baru ini menang tanpa bertanding sebagai Presiden PKR dan juga Ketua Umum Pakatan Harapan berkata, pengalaman dipenjarakan selama 11 tahun menjadikan beliau seorang yang cukup memahami masalah rakyat khususnya derita golongan bawahan apabila menjadi pemimpin nanti.

“Ada pandangan sinis yang mengatakan saya sudah tua dan tidak lagi relevan (untuk kembali ke dalam kerajaan),” katanya ketika berucap pada pada majlis makan malam Pidato Malaysia Baharu:
Mengisi Harapan Rakyat, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, malam tadi, lapor Bernama.

Anwar menjelaskan semasa di penjara, beliau banyak bergaul dengan golongan bawahan yang merupakan hampir 90 peratus dari penghuni penjara serta warga asing.

“Saya pernah menyaksikan anak muda yang dipenjarakan kerana hanya mencuri seluar jeans dan warga asing yang datang ke sini untuk mencari rezeki tetapi ditipu dan dihukum penjara,” katanya.


Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Majlis Makan Malam Pidato Malaysia Baharu: Mengisi Harapan Rakyat, di Putrajaya malam tadi.-Foto Bernama.

Baru-baru ini Ahli Parlimen Port Dickson Datuk Danyal Balagopal Abdullah yang memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) mengumumkan beliau telah mengosongkan kerusi berkenaan bagi memberi laluan kepada Anwar bertanding pada pilihan raya kecil di kawasan itu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kemudian mengesahkan telah menerima notis pemakluman pengosongan kerusi Parlimen Port Dickson dan akan mengadakan mesyuarat pada tarikh yang akan diumumkan.

Anwar bakal bertanding di kerusi Parlimen Port Dickson untuk kembali ke Dewan Rakyat bagi membolehkan beliau menyertai kerajaan.

Tiada ulasan: