Khamis, 19 Julai 2018

SPRM rampas dokumen berkaitan ECRL, 2 projek saluran paip syarikat China

MALAYSIAKINI

   
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merampas sejumlah dokumen dalam siasatannya terhadap tiga projek mega kerajaan BN dulu yang kini ditangguhkan - Landasan Berkembar Pantai Timur (ECRL) serta Saluran Paip Pelbagai Produk Petroleum (MPP) dan Saluran Paip Gas Trans-Sabah (TSGP).

Sumber SPRM berkata lebih 50 pegawainya menyerbu 13 lokasi sekitar Lembah Klang dalam operasi yang bermula 10 pagi tadi.

Pengarah Siasatan SPRM Datuk Simi Abdul Ghani mengesahkan serbuan itu namun enggan mendedahkan butiran lanjut.

Kementerian Kewangan sebelum ini mengeluarkan notis menggantung semua kerja bagi tiga projek itu yang semuanya dibina syarikat China.

Awal bulan ini, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mendedahkan kos sebenar ECRL dijangka mencecah RM81 bilion, berbanding RM55 bilion seperti yang diumumkan kerajaan dulu.

Lim berkata menteri sebelum ini Datuk Seri Najib Razak telah membayar RM8.25 bilion - iaitu 87.7 peratus daripada keseluruhan kos - bagi projek MPP dan TSGP walaupun hanya sedikit saja kerja yang dilakukan.

Semalam, anggota parlimen Damansara Tony Pua - yang turut berkhidmat sebagai pegawai khas menteri kewangan selama enam bulan - berkata kepada BBC bahawa ada unsur pengubahan wang haram yang jelas dalam dua projek itu.

"Keseluruhan projek ini seperti skim penipuan. (Terdapat) elemen pengubahan wang haram yang cukup jelas berlaku.

"Kami (Malaysia) memberikan wang - kepada syarikat China - dan kami syak wang ini salurkan kepada pihak-pihak yang berkaitan dengan pentadbiran (BN) sebelum ini," kata Pua seperti dipetik BBC.


Tiada ulasan: