Khamis, 19 Julai 2018

6 prasekolah di P Pinang ditutup ekoran kes HFMD

MALAYSIAKINI

   
Enam prasekolah di Pulau Pinang diarahkan tutup selama 10 hari bermula semalam berikutan penularan wabak penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di negeri itu.

Menurut kenyataan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), selain prasekolah, 26 lagi premis melibatkan sekolah rendah, taska, tadika dan pusat jagaan di negeri itu masih ditutup sehingga hari ini.

"Ketika ini, 32 premis masih ditutup membabitkan tujuh sekolah rendah, tujuh taska, 11 tadika, enam prasekolah dan sebuah pusat jagaan. Semua lokaliti itu ditutup berikutan terdapat kes HFMD di situ," menurut kenyataan itu semalam.

Sebanyak 2,082 kes HFMD dilaporkan dari Januari sehingga semalam iaitu peningkatan 93.5 peratus atau 1,076 kes bagi tempoh sama tahun lepas dan 92 kluster ditutup dari awal tahun hingga semalam berbanding hanya lapan bagi tempoh sama pada 2017.

Beliau berkata 10 kanak-kanak berusia setahun hingga 10 tahun menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP) dan hospital swasta berikutan dijangkiti HFMD sehingga semalam, manakala 11 kanak-kanak yang dirawat akibat penyakit itu dibenarkan keluar selepas mendapatkan rawatan di HPP, Hospital Seberang Jaya, Hospital Bukit Mertajam dan hospital swasta.

Menurut kenyataan itu, JKNPP membuat pemeriksaan ke atas 807 daripada 854 fasiliti membabitkan sekolah rendah, prasekolah, tadika dan taska di negeri ini bagi membuat pemantauan kes HFMD di premis berkenaan.

Justeru, ibu bapa dinasihatkan agar mendapatkan rawatan segera jika anak-anak mereka mempunyai simptom dijangkiti HFMD dan tidak membawa mereka ke tempat terbuka atau orang ramai bagi mengelak jangkitan kepada orang lain.

HFMD ialah satu penyakit disebabkan virus dan gejala penyakit itu adalah demam, ruam (maculopapular dan vesicles) di tapak tangan, kaki dan ulser di mulut dan lidah, serta gejala dan tanda-tanda jangkitan saluran pernafasan atas (URTI).

HFMD disebabkan jangkitan virus khasnya daripada jenis Coxsackie A16 serta Enterovirus 71 (EV71) dan virus itu merebak secara kontak dengan air liur, cecair lepuh (blister) dan najis pesakit.-- Bernama

Tiada ulasan: