Selasa, 3 Julai 2018

321 lagi gambar termasuk pemetik api dikemuka di mahkamah

THE MALAYSIAN TIMES
 


KUALA LUMPUR: Sebanyak 321 keping lagi gambar tempat kejadian, bedah siasat dan barang kes termasuk pemetik api dan lokasi pemetik api dalam tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang meragut nyawa 23 individu, dikemukakan pada perbicaraan kes itu di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Kesemua gambar berkenaan dirakamkan oleh lima jurufoto daripada Cawangan Fotografi D6, Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju antara 14 Sept hingga 26 Sept tahun lepas, yang menjadikan jumlah keseluruhan gambar yang dikemukakan di mahkamah setakat ini ialah 523 keping.

Kelima-lima jurufoto itu dipanggil memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan pada perbicaraan hari keempat kes dua remaja lelaki yang didakwa membunuh 23 penghuni Pusat Tahfiz Darul Ittifaqiyah itu.

Ketika pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya Nurakmal Farhan Aziz, Lans Koperal Muhammad Azril Abdullah Sani, 29, yang merupakan saksi pendakwaan kelapan memberitahu beliau telah merakamkan 104 keping gambar bedah siasat mayat mangsa-mangsa di bilik mayat Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Saksi pendakwaan kesembilan, Lans Koperal Azlan Ameerudin, 28, dan saksi pendakwaan ke-10 Koperal Muhd Alfadanzurishah Taharim, 33, juga merakamkan gambar bedah siasat iaitu masing-masing 74 dan 52 keping.

Saksi pendakwaan ke-11, Lans Koperal Mohd Faiz Mohd Yusof, 30, dan saksi pendakwaan ke-12, Lans Koperal Adhwa Azahar, 27, pula merakamkan gambar tempat kejadian dan barang kes dan kesemua gambar terbabit yang disimpan di dalam kad memori kamera dipindahkan ke dalam cakera padat sebelum dicetak dan diserahkan kepada pegawai penyiasat masing-masing.

Dua remaja lelaki yang ketika itu berumur 16 tahun didakwa bersama-sama membunuh dan menyebabkan kematian 23 penghuni di Pusat Tahfiz Darul Ittifaqiyah, Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, di sini antara 4.15 pagi dan 6.45 pagi, pada 14 Sept 2017.

Mereka masing-masing menghadapi 23 pertuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Seksyen 97(1) Akta Kanak-kanak 2001 menyatakan bahawa hukuman mati tidak boleh dijatuhkan ke atas pesalah kanak-kanak bawah umur 18 tahun namun mahkamah boleh menjatuhkan hukuman penjara selama mana diperkenankan Yang di-Pertuan Agong dan mengikut Seksyen 94 akta sama juga mempunyai kuasa untuk memerintahkan supaya ibu bapa dikenakan denda atau membayar pampasan.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira 5.15 pagi, 14 Sept 2017, 21 pelajar dan dua warden maut selepas terperangkap di tingkat tiga asrama pusat tahfiz itu yang terbakar.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung esok.– Bernama

Tiada ulasan: