Rabu, 4 April 2018

Wilayah Persekutuan tubuh Mahkamah Khas Perkahwinan, Hadhanah dan Nafkah

Shawaliah Hadir
KUALA LUMPUR – Wilayah Persekutuan akan menjadi negeri pertama yang mempunyai Mahkamah Khas Perkahwinan, Hadhanah dan Nafkah bagi menyelesaikan masalah kelewatan penyelesaian kes di mahkamah syariah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, persepsi negatif terhadap proses penyelesaian masalah perkahwinan yang mengambil masa lama sehingga memberi kesan kepada mereka yang terlibat merupakan antara penyebab penubuhan mahkamah khas itu.

“Maksud mahkamah khas ini ialah untuk menyelsaikan secara sekali gus sebab kebiasaan amalan hari ini proses penceraian, menuntut nafkah, menuntut hak penjagaan mengambil tempoh agak panjang, dan kesan masyarakat umum melihat mahkamah syariah ini agak lambat.

“Inovasi telah difikirkan di mana pakar perundangan mahkamah syariah telah dihimpunkan, begitu juga mereka yang punyai latar belakang termasuk daripada barisan pihak peguam, hakim dan sebagainya berbincang macam mana diambil satu pendekatan bagi mempercepatkan proses ini.

“Proses yang lambat memberi kesan yang agak mendalam kepada pihak-pihak yang berkepentingan lebih-lebih lagi pihak wanita dan juga anak-anak, apatah lagi anak-anak itu masih lagi kecil memerlukan tumpuan dan perhatian rapi di sudut kewangan,” katanya kepada pemberita pada sidang media.

Jamil Khir berharap penubuhan mahkamah khas itu akan memberikan impak positif kepada masyarakat Islam dan dalam masa sama menjadi contoh kepada negeri-negeri lain untuk mengambil langkah serupa.

Hadir pada majlis Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Rohani Abdul Karim dan Timbalannya, Datuk Azizah Mohd Dun.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom 
bersama Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, 
Datuk Seri Hajah Rohani Abdul Karim pada Majlis Pengisytiharan 
Penubuhan Mahkamah Khas Perkahwinan, Hadhanah dan Nafkah 
di Dewan Jamuan Aras 4, Kompleks Mahkamah Syariah Wilayah 
Persekutuan, Taman Sri Hartamas, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI,
Mahkamah Khas Perkahwinan, Hadhanah dan Nafkah ini katanya lagi akan beroperasi dengan serta merta selepas perasmian hari ini.-MalaysiaGazette


Tiada ulasan: