Khamis, 5 April 2018

Khalid layak bertanding PRU14, mahkamah kekal denda

 
Walaupun Mahkamah Tinggi Syariah memutuskan ahli parlimen Shah Alam itu kekal bersalah tetapi dendanya kekal RM1,900.


Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad (kiri) bersama peguamnya Zulqarnain Lukman lega selepas tuduhan mengajar Islam tanpa tauliah selesai.


SHAH ALAM: Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad kini boleh bertanding pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) selepas mahkamah mengekalkan denda RM1,900 ke atasnya atas tuduhan mengajar Islam tanpa tauliah.

Mahkamah Rayuan Syariah hari ini menolak rayuan Ketua Pendakwa Syarie Sofiah Ahmad untuk memohon kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Syariah tahun lalu yang mengurangkan denda kepada RM1,900 kerana mengajar Islam tanpa tauliah.

Hakim Mahkamah Rayuan Syariah Aidi Moktar yang mengetuai 3 panel memutuskan Sofiah tidak menunjukkan ada isu perundangan dan kepentingan awam yang perlu ditentukan oleh mahkamah.

“Perayu tidak memenuhi syarat di bawah seksyen 167(1) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah di atas kegagalan membuktikan soalan kepentingan awam dan gagal menunjukkan kepada Mahkamah Rayuan Syariah bahawa Mahkamah Tinggi ada menyentuh isu undang-undang,” katanya.

Khalid ketika ditemui pemberita selepas itu melahirkan kelegaan selepas isu selesai.

“Keputusan Mahkamah Tinggi Syariah itu kekal iaitu walaupun didapati bersalah tetapi dendanya kekal di peringkat RM1,900 semata-mata.

“Saya rasa cukup legalah kerana lepas ini dah tamatlah kisah ini sebelum kita nak buat cerita baru selepas pilihan raya,” katanya.

Beliau juga turut ditanya adakah beliau akan mempertahankan kerusi Shah Alam pada PRU14.

“InsyaAllah sekiranya dicalonkan akan bertanding di Shah Alam dan saya yakin Melayu Shah Alam akan menolak Umno dan BN,” katanya sambil menambah isu mengenai calon akan ditentukan oleh parti.

Awal tahun lalu, Mahkamah Syariah di Klang mendapati Khalid bersalah mengajar Islam tanpa tauliah semasa menyampaikan ceramah di surau Taman Seri Sementa, Klang, pada 2011.

Beliau didenda RM2,900 dan meletakkannya pada risiko tidak layak bertanding pada PRU akan datang.

Khalid mendakwa beliau diundang ke surau tersebut untuk berkongsi pengalamannya ke Palestin, bukan untuk memberi ceramah agama.

Hakim Mahkamah Syariah Selangor Salehan Yatim kemudiannya mengurangkan jumlah denda kepada RM1,900, yang bermakna Khalid tidak hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen dan masih boleh bertanding pada PRU14.

Perlembagaan Persekutuan tidak membenarkan seseorang memegang jawatan sebagai wakil rakyat jika disabitkan kesalahan dan dihukum penjara tidak kurang setahun atau denda tidak kurang daripada RM2,000.

Tiada ulasan: