Ahad, 22 April 2018

Untung sabut, Mat Said timbul lagi di Kijal

MALAYSIAKINI

   

Untung sabut timbul.

Begitulah nasib bekas menteri besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said selepas dicalonkan kembali oleh BN bertanding dalam pilihan raya di negeri itu.

Lebih mengejutkan, pengumuman itu dibuat oleh menteri besar sementara Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman, yang cuba disingkirkannya melalui undi tidak percaya pada 2016.



Menurut Sinar Harian, Ahmad, ketua Umno bahagian Kemaman, kekal mewakili BN bagi mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal yang disandangnya lima penggal sejak 1990.

Majlis pengumuman calon BN Terengganu diadakan di Kediaman Seri Iman, Kuala Terengganu hari ini.

“Perkembangan tersebut menamatkan spekulasi tentang kedudukan bekas menteri besar itu sebelum ini yang dikatakan tidak akan dicalonkan pada pilihanraya umum kali ini,” lapor harian itu.

Bagaimanapun, tidak pasti sama ada Ahmad turut dipertimbangkan sebagai calon menteri besar sekali lagi.



Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (atas) pada 12 April lalu dilapor berkata Razif akan menyambung tanggungjawabnya sebagai menteri besar jika BN kembali menguasai negeri itu.

Kenyataan itu dibuat di tengah-tengah cakap-cakap Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Jailani Ngah akan bertanding dan bakal menjadi calon menteri besar Terengganu.

Untuk rekod, Ahmad pernah muncul bersama calon perdana menteri Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam forum Nothing to Hide di ibu negara pada 2015.

Mahathir bercakap berkaitan skandal 1MDD, yang pada mulanya ditubuhkan sebagai Terengganu Investment Authority (TIA) semasa pentadbiran Ahmad.

Pada 2016, Ahmad mencadangkan usul tidak percaya terhadap Razif tetapi ditolak oleh speaker.


Tiada ulasan: