DUNIA seolah-olah
terhenti serta-merta di Malaysia apabila seorang Imam muda dari
Palestin, dikenali sebagai Imam Dr. Fadi Al-Batsh dibunuh sewaktu
perjalanan mengerjakan solat Subuh.
Lebih tragis, beliau syahid meninggalkan
seorang balu dengan tiga orang anak yang masih kecil. Siapa yang
mengarahkan pembunuhan ini dilakukan? Kenapa Imam Fadi menjadi sasaran?
Apakah isyarat pembunuhan ini kepada kita?
Sememangnya tidak mustahil bahawa
pembunuhan kejam ini didalangi ejen asing khususnya ejen perisikan
Israel Mossad yang berjaya menyusup masuk ke negara kita seperti mana
kenyataan Timbalan Perdana Menteri sendiri, Datuk Seri Ahmad Zahid
Hamidi.
Imam Fadi perlu diketahui bukanlah
sebarangan imam. Beliau juga adalah merupakan seorang pensyarah bidang
Kejuruteraan Elektrik di sebuah IPT di negara kita dengan kelulusan
Doktor Falsafah. Beliau bukan sahaja sering diundang menjadi Imam solat
Tarawikh pada bulan Ramadan, bahkan juga aktif memainkan peranan penting
dalam usaha pengumpulan dana dari Malaysia untuk disalurkan kepada
mereka yang memerlukan di Palestin.
Fakta ini jelas menunjuk ke arah satu
kesimpulan yang tidak dapat dinafikan dengan mudah. Israel tentulah
tidak selesa dengan kewujudan seorang insan yang begitu seimbang dari
segi kehebatan rohani dan juga akalnya. Apatah lagi berupaya menjadi
‘jambatan’ dalam menyalurkan dana dari Malaysia ke Palestin. Masa yang
dipilih juga menyokong hipotesis ini. Bulan Ramadan bakal menjelang tiba
tidak lama lagi dan pastinya dana dari Malaysia bakal mencurah-curah
disalurkan ke Palestin oleh Imam Fadi jika beliau tidak dihalang.
Selain daripada hipotesis "Imam Fadi
sebagai penyalur dana dari Malaysia ke Palestin", tentulah terdapat
pelbagai andaian lain yang berkemungkinan membawa kepada berlakunya
tragedi ini. Adakah beliau mempunyai hubungan dengan Hamas? Adakah
kepakaran Kejuruteraan beliau ada disalurkan ke Hamas lalu menjadi
ancaman kepada Rejim Zionis? Malah terdapat laporan bahawa seorang ahli
keluarga beliau Taisir al-Batsh yang dikatakan merupakan Ketua Polis
Gaza juga telah dibunuh Rejim Zionis. Masih terlalu banyak pembuktian
yang perlu dilakukan dan tugas ini kita serahkan kepada pihak berkuasa
kita, Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Laporan setakat ini menyatakan bahawa
dua pembunuh yang bertanggungjawab melepaskan 10 das tembakan terhadap
beliau sudah pun menunggu selama 20 minit sebelum melakukan pembunuhan
tersebut. Berdasarkan jumlah tembakan yang sebegitu banyak tanpa
sebarang petunjuk motif ragut atau rompakan yang jelas, pembunuhan
sebegini amat mirip sekali dengan modus operandi "Targeted Killing" atau "Pembunuhan Bersasar" yang diamalkan oleh Israel sejak sekian lama.
"Pembunuhan Bersasar" ini dijalankan
secara cekap melibatkan ejen Israel yang melakukan pembunuhan ke atas
individu-individu berprofil tinggi mahu pun individu di balik tabir yang
bergiat mengancam kedudukan strategik Rejim Zionis. Mereka menyusup
masuk melangkaui kedaulatan negara asing dan menjalankan pembunuhan
kejam.
Menurut rekod, "Pembunuhan Bersasar
adalah suatu bentuk serangan ketenteraan Israel yang paling signifikan
dan kerap" di mana ia bukan sahaja merupakan aktiviti keganasan, tetapi
juga "alat politik" untuk mengukuhkan kawalan ke atas penjajahan mereka
di Palestin.
Israel sememangnya tidak segan sama
sekali untuk melakukan pembunuhan di luar negara demi melindungi
survival negara haram mereka. Contoh yang paling jelas ialah pembunuhan
berturut-turut dua pemimpin Hamas di Palestin iaitu Syeikh Ahmed Yasin
dan juga Dr. Abdul Aziz Rantisi.
Sebelum 2001 Israel menafikan bahawa
mereka mengamalkan polisi hukuman bunuh tanpa perbicaraan sebegini.
Hanya apabila Intifada Kedua meletus mulai November 2000 barulah mereka
mengakui ada menjalankan "Pembunuhan Bersasar untuk pencegahan" (preemptive Targeted Killing).
Sebenarnya sejak tahun 1950-an lagi Israel telah pun dituduh
menjalankan operasi haram sebegini di luar wilayah jajahan mereka.
Keputusan untuk menjalankan pembunuhan
sebegini telah diperkenalkan kembali oleh Ariel Sharon. Mahkamah Israel
tidak lagi terlibat dalam memutuskan sebarang keputusan "Pembunuhan
Bersasar" ini sebaliknya terletak sepenuhnya pada budi bicara Perdana
Menteri Israel dan badan perkhidmatan rahsia Israel, Shin Bet.
Setakat ini terdapat tiga fakta besar
yang sama sekali tidak dapat ditolak: Imam Fadi tidak diketahui sebagai
seorang yang bermusuh dengan sesiapa; pihak yang paling ‘beruntung’
dengan kematian beliau ialah rejim haram Zionis; modus operandi
"Pembunuhan Bersasar" sebegini bukanlah asing bagi Zionis.
Kita wajib mendoakan semoga pasukan
penyiasat PDRM berjaya menghadapkan pembunuh Imam Fadi ini ke muka
pengadilan dan pembunuh berhati binatang ini menerima pembalasan yang
setimpal. Sekiranya kelak dibuktikan bahawa sememangnya wujud campur
tangan asing dalam kes ini terutama sekali Mossad Israel, maka ia
merupakan isyarat jelas bahawa rejim haram tersebut telah menceroboh
kedaulatan negara kita dan wajar diberi pengajaran yang bukan
sebarangan.
*ABDUL MUEIN ABADI , Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) - HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan