Jumaat, 13 April 2018

Umno tidak tuntut jawatan Ketua Menteri

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
BAYAN LEPAS: Datuk Seri Najib Razak memberi jaminan jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang akan dilantik dalam kalangan pemimpin parti komponen selain Umno jika Barisan Nasional (BN) mendapat mandat mentadbir negeri itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
 
Pengerusi BN itu berkata, berdasarkan konsep perkongsian kuasa yang diamalkan selama ini, Umno tidak akan menuntut jawatan berkenaan.
 
Katanya, sejak dahulu lagi Umno menghormati rakan komponen lain dan konsep itu diteruskan sehingga hari ini sebagai lambang persefahaman yang kukuh.
 
"Sekiranya kita mendapat mandat pada pilihan raya kali ini, bakal Ketua Menteri tetap bukan dari Umno dan akan diserahkan kepada parti komponen BN.
 
"Persefahaman ini kita pegang sejak dahulu lagi dan BN akan teruskan kerana kita sentiasa bersikap adil kepada semua pihak," katanya ketika berucap merasmikan Lampu Jalan Kampung di Teluk Kumbar di sini, malam tadi, lapor BH Online.
 
Yang turut hadir, Pengerusi BN Pulau Pinang, Teng Chang Yeow dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Zainal Abidin Osman.
 
Mengenai projek tambakan laut yang dirancang dilaksanakan kerajaan pimpinan DAP di kawasan perairan berdekatan Teluk Kumbar, Perdana Menteri menegaskan Kerajaan Persekutuan tidak pernah bersetuju dengan projek itu.
 
"Projek ini dikatakan dilaksana bagi menampung Pelan Induk Pengangkutan (PIP) Pulau Pinang tetapi bakal menutup periuk nasi nelayan tempatan.
 
"Kerajaan Persekutuan juga melaksanakan pelbagai projek pengangkutan seperti Transit Aliran Massa (MRT), Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) dan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), tetapi kita tidak pernah tebus tanah," katanya.
 
Berikutan itu, beliau meminta pengundi di Pulau Pinang menyokong BN bagi membolehkan projek tambakan terbabit dapat dibatalkan demi kesejahteraan rakyat pada masa hadapan.
 
 

Tiada ulasan: