Jumaat, 13 April 2018

Shahrizat nafi spekulasi bertanding di Bandar Tun Razak

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Ketua Wanita Umno Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil menafikan khabar angin bahawa beliau akan diletakkan di kerusi Parlimen Bandar Tun Razak pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
 
Beliau menyifatkan ia sebagai satu spekulasi politik menjelang PRU14 pada 9 Mei ini.
 
Malah tambah Shahrizat lagi, beliau akan memaklumkan sebarang arahan daripada kepemimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN).
 
Malah, Shahrizat melahirkan rasa terkejut dengan khabar angin yang bertiup, menyatakan beliau bakal calon kawasan itu yang secara tradisinya ditandingi oleh wakil daripada MCA.
 
"Spekulasi. Serius (betul). Saya akan maklumkan kalau sudah dapat berita (makluman) mengenainya (pencalonan Parlimen Bandar Tun Razak)," katanya dipetik BH Online.
 
Beliau mengulas laporan portal tempatan yang mendakwa calon Umno akan diletakkan di kerusi Parlimen Bandar Tun Razak namun ia bukan Ketua Umno Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar.
 
Portal itu memetik sumber mendakwa BN dijangka mencalonkan Shahrizat, dan disahkan beberapa sumber Umno termasuk dari kepemimpinan pusat.
 
Pada PRU13, wakil MCA kalah kerusi Bandar Tun Razak kepada calon PKR, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, dengan majoriti 11,832 undi.
 
Abdul Khalid, 72, menjadi Ahli Parlimen bebas selepas keluar dari PKR dan difahamkan, enggan bertanding mempertahankan kedudukannya di situ pada PRU-14.
 
Sementara itu, Shahrizat adalah ahli UMNO Kepong yang menceburi arena politik pada 1982 sebagai Ketua Wanita UMNO Cawangan Kepong Baru.
 
Beliau dipinjamkan ke Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ketika PRU 1995.
 
Sejak itu, Shahrizat yang menjadi calon payung terjun, memenangi tiga penggal pilihan raya di Parlimen Lembah Pantai sekaligus, menyandang jawatan Ketua Wanita Umno.
 
Pada 1995, beliau mengalahkan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohamed Salleh Abas, yang mewakili Parti Semangat 46 dengan majoriti 13,361 undi.
 
Pada PRU 1999, Shahrizat menumbangkan calon PKR, Zainur Zakaria, dengan majoriti 1,417 undi dan menang besar pada PRU 2004 mengalahkan bekas Setiausaha Agung Parti Rakyat Malaysia (PRM), Dr Sanusi Osman, yang bertanding atas tiket PKR dengan majoriti 15,288 undi.
 
Bagaimanapun, Shahrizat kalah dengan majoriti 2,895 undi kepada Nurul Izzah Anwar (PKR) pada PRU 2008. Pada PRU-13, Shahrizat tidak bertanding di mana-mana kawasan.
 
 

Tiada ulasan: