SHAH ALAM: Bekas pemimpin PKR Badrul Hisham Shaharin hari ini didakwa di bawah Akta Hasutan 1948 di Mahkamah Seksyen Shah Alam, atas tuduhan mengeluarkan artikel menghasut mengenai Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, di laman sosial Facebook (FB) pada Januari lalu.
Walau bagaimanapun, bekas Ketua Cabang PKR Rembau itu mengaku tidak
bersalah dan minta dibicarakan selepas kertas pertuduhan dibacakan di
hadapan Hakim Rihaida Rafie.
Malam tadi melalui laman sosial Facebooknya memberi tahu beliau ditahan
polis pada jam 12.35 malam dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Shah Alam
Mengikut pertuduhan, dia didakwa menerbitkan tujuh perkara menghasut
itu menerusi akaun laman sosial Facebook miliknya atas nama Chegubard di
Jalan Kuarza 7/9, Seksyen 7, di Shah Alam kira-kira pukul 5 petang, 11
Jan lepas.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(C) Akta Hasutan 1948 (Akta 15)
yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama iaitu denda tidak
lebih RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali,
jika sabit kesalahan.
Jika kesalahan sama dilakukan, tertuduh boleh dipenjara tidak lebih lima tahun.
Timbalan Pendakwa Raya Selangor, Muhamad Iskandar Ahmad yang
mengendali kes itu memohon mahkamah menetapkan jaminan RM10,000 dan
pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah selain tiada sebarang
dokumen perjalanan dikeluarkan kepada Badrul Hisham sehingga kes
selesai.
Katanya ini kerana tertuduh sepatutnya didakwa semalam namun Badrul
Hisham tidak dapat dikesan sehingga tengah malam tadi menyebabkan ia
terpaksa ditangguh ke hari ini dan sikap tertuduh dilihat seperti cuba
mengelak untuk dibawa ke mahkamah.
Peguam tertuduh, Muhammad Nor Izzat Nordin berkata anak guamnya
bersedia menyerahkan pasport antarabangsa miliknya kepada mahkamah dan
memohon jaminan dikurangkan antara RM3,000 hingga RM5,000.
Hakim Rihaida kemudian menetapkan jaminan RM6,000 dan pasport
tertuduh diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai dan kes akan
disebut semula pada 16 Mei ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan