Umat Islam di negara ini perlu menolak pimpinan parti DAP yang mempunyai agenda untuk menjatuhkan Islam dengan memilih pemimpin yang mempunyai semangat untuk mendaulatkan Islam sebagai agama negara.
Mantan Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAINPP), Profesor Madya Datuk Elias Zakaria berkata umat Islam sebagai manusia yang berilmu, beradab dan berpegang teguh kepada agama perlu mencari pemimpin atas dasar dan ketetapan yang telah digariskan agama.
Ini kerana menurut beliau, masa depan agama dan negara akan dipertanggungjawabkan kepada pemimpin yang akan dipilih kelak.
“Sebagai seorang yang dilahirkan sebagai seorang Islam dan mahu mati juga sebagai Islam, sebolehnya kita mahu menzahirkan Islam kita sampai kepada citra politik.
“Jadi kita mesti memilih pemimpin yang memenuhi kriteria Islam.
“Jika dari segi zahir dan batin kita lihat dia nak perjuangkan Islam, kita pilih dia,” katanya ketika ditemubual selepas program Deklarasi Ijtima’ Penegasan Kedaulatan Islam (DIPKI) 2018 di Dewan Serbaguna Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur pada Ahad.
Mengulas lanjut, Elias turut menyeru umat Islam di negara ini untuk meneliti kelayakan calon pemimpin yang ingin dipilih untuk mentadbir negara.
Beliau berkata selain menepati ciri-ciri seorang Islam, calon yang layak untuk memimpin sesebuah negara mestilah mempunyai kecekapan dan kepakaran untuk mentadbir.
“Kalau contoh seseorang individu hanya tahu memandu lori tetapi tidak cekap memandu lori, kita pun tidak mahu beri pinjam lori kepada dia.
“Apatah lagi untuk menjadi pemimpin negara yang akan memandu negara dengan segala kuasa undang-undang, kuasa ekonomi.
“Jadi kerana itu kita sebagai umat Islam perlu meneliti kriteria calon tersebut kerana ia akan memberi impak kepada maruah negara kita kelak,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan