Selasa, 3 April 2018

PRU14 P069 PARLIMEN PARIT : AKMAR GANTI ZAIM



Bertiup kencang nama Setiausaha Akhbar Perdana Menteri Datuk Akmar Hisham Mokhles akan menjadi calon pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) bagi kawasan Parlimen P069 Parit menggantikan penyandang sekarang Datuk Mohd Zaim Abu Hassan.

Akmar Hisham Mokhles merupakan anak jati Parit dan mendapat pendidikan awal di kawasan tersebut telah mula ‘merumput’ dan ‘membajak’ sejak awal tahun 2017 dan dikatakan mendapat ‘restu’ pimpinan bahagian UMNO Parit.

Beliau juga mendekati pimpinan kawasan dan menemui pengundi melalui pelbagai program rakyat bagi menyesuaikan diri.

Watan Online mengambil kesempatan pada pagi Isnin ketika ini Dewan Rakyat bersidang menemui Ahli Parlimen Parit bagi mendapat ulasan lanjut.

“Saya tidak tahu, terserah kepada Presiden parti Datuk Seri Najib Razak yang tentukan, kata Mohd Zaim bersahaja.

Beliau memberi reaksi demikian apabila ditanya sama ada bertanding untuk mempertahankan kerusi yang disandangnya pada PRU14 ini.

Bagaimanapun Ketua Bahagian UMNO Parit itu dengan nada perlahankan memberitahu, bahawa telah menjadi lumrah manusia untuk mempunyai keinginan meneruskan apa yang diusahakan selama ini dan sukar melepaskan apa yang sedang dimiliki.

“Beginilah, kalau ditanya semua orang (nak bertanding) semua akan kata ya, itu memang lumrah manusia.

“Jadi, biarlah pucuk pimpinan yang tentukan terbaik untuk saya dan Parit, saya tidak berhak ulas soalan ini,” tambah beliau.

Dalam pada itu, menurut Zaim, jika dirinya diberi peluang bertanding dan menang pada PRU14 ini, beliau bertekad menyelesaikan beberapa usaha yang belum dapat direalisasikan seperti mewujudkan sebuah sekolah berasrama penuh di Parit.

“Setakat ini saya berpuas hati segala peruntukkan yang saya mohon untuk warga Parit berjaya ditunaikan seperti memberi bantuan kepada masjid, surau, mewujudkan jalan-jalan luar bandar yang selesa, pembangunan masyarakat kampung dan juga membantu membina rumah kepada lebih kurang 200 keluarga.

“Malah kejayaan mewujudkan maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Parit juga adalah hadiah saya kepada orang Parit, cuma hasrat saya belum tertunai untuk melihat sekolah berasrama penuh terbina di Parit,” katanya.

Karier politik Zaim bermula pada pilihan Raya (PRU) 1995 dan dilantik menjadi EXCO Perak setelah berjaya menjadi wakil rakyat DUN Belanja.

Pada PRU 1999 beliau gagal mempertahankan kerusi belanja dan Parlimen Parit tewas 3-0 termasuk DUN Bota kepada pembangkang.

Beliau kembali menjadi EXCO Perak selepas PRU 2004 dan menjadi ADUN Belanja.

Pada PRU 2008 meskipun Perak dilanda tsunami politik ketika itu, Zaim berjaya mempertahankan kerusi DUN Belanja.

Bagaimanapun pada PRU 2013 beliau beralih arah ke Parlimen Parit dan menang dengan majoriti 4,497.


Tiada ulasan: