TAHUN 2018 ini genap 20 tahun bermula gerakan yang dinamakan reformasi ataupun Reformasi dengan “R” huruf besar susulan pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai timbalan perdana menteri pada 1998.
Pada ulangtahun ke-20 kelahiran gerakan reformasi ini, Anwar bakal keluar penjara selepas menjalani hukuman kerana meliwat, dan pakatan politik yang dibina hasil peranan Anwar menyatukan pembangkang sedang bersiap memasuki gelanggang Pilihan Raya Umum ke-14.
Tetapi tanda yang paling menonjol dalam tahun sambutan ini ialah persetujuan PKR untuk bersama dalam pakatan politik dengan orang yang menyebabkan gerakan reformasi dilancarkan.
Lebih menonjol lagi ialah pemimpin yang dikecam sebagai diktator mahazalim 20 tahun lalu hari ini mengambil tempat Anwar sebagai calon perdana menteri pakatan pembangkang.
Ini semua tidak dapat dibayangkan semasa semangat sedang berapi dan mata kepedihan terkena gas pemedih mata FRU 20 tahun lalu.
Pada masa itu, siapa yang berani mengatakan kemungkinan satu hari nanti mungkin Datuk Seri (Tun) Dr Mahathir Mohamad akan bertaubat dan bersama menyokong pembangkang pasti akan dikecam hingga mati.
Masa itu, ketetapan telah dibuat bahawa Mahathir diktator yang wajib dijatuhkan dan UMNO ditolak sepenuhnya demi menyelamatkan negara daripada kezaliman dan meletakkan Anwar sebagai pemimpin.
Selepas 20 tahun, banyak yang telah berubah malah ada yang telah melakukan pusingan U seperti kebencian terhadap Mahathir si mahazalim, mahafiraun.
Selepas 20 tahun, pemimpin-pemimpin yang bersama Anwar juga sudah banyak berubah, ada yang telah kembali pada UMNO dan ada yang telah terpinggir hasil perubahan kuasa dalaman Parti Keadilan Nasional (PKN) yang kemudian menjadi Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Antara pemimpin yang dipinggir ialah Badrul Hisham Shahrin, popular dengan gelaran Chegubard, yang telah disingkir daripada PKR oleh penguasa yang menguasai parti selepas ketiadaan Anwar.
Beliau sejak beberapa tahun lepas lebih dikenali sebagai pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), pertubuhan anak muda yang sering kali juga berselisih pendapat dengan parti-parti politik pembangkang termasuk PKR.
Apa yang berlaku pada Chegubard ini menunjukkan sejauh mana PKR sudah berubah dan tidak lagi melayan semangat reformasi tetapi telah dikuasai Anwar dan kemudian pemimpin-pemimpin lain seperti Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Usaha Chegubard mendedahkan penyalahgunaan kuasa dan dakwaan korupsi disambut dengan kemarahan kepimpinan PKR sehingga akhirnya dipecat.
Satu masa dulu, PKR dikuasai oleh Anwar yang menjadikan agenda politiknya sebagai matlamat parti. Pendek kata, PKR hanya alat untuk beliau mendapatkan kuasa.
Akhirnya selepas beberapa musim pergaduhan dalaman, Azmin pula berjaya menjadi pemimpin paling berkuasa kerana kuasa politik dan kuasa kewangannya.
Semakin ramai keluar parti atau tidak bergiat aktif lagi selepas Azmin mengatasi kuasa Datuk Seri Dr Wan Azizah dan kumpulan yang rapat dengan keluarga Anwar.
Hari ini PKR sudah berpakat dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang dipimpin oleh Mahathir, dan bersedia pula mencalonkan bekas PM 22 tahun itu sebagai perdana menteri Pakatan Harapan jika menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14.
Ini membuktikan yang PKR sudah menjadi parti politik yang bermatlamat kuasa semata-mata, dan aktivis-aktivis yang bersama sejak 1998 dulu hampir semuanya sudah tidak ada dalam parti, kecuali yang boleh mengubah pendirian dan menyesuaikan dengan kehendak parti.
Chegubard ialah pemimpin yang konsisten menentang Mahathir sejak dulu, dan beliau memberi amaran bahawa melantik Mahathir sebagai PM ialah satu kerja gila.
Pertembungan ini menunjukkan begitu jauh PKR dengan aspirasi reformasinya dan ahli-ahli asal gerakan reformasi telah terpisah.
Suara yang menolak dan kritikal terhadap Mahathir hari ini ialah suara yang terpinggir, dan arus perdana PKR bersedia memaafkan Mahathir.
Satu isu penting yang menjadi titik perbezaan ialah kepercayaan. Satu pihak percaya Mahathir boleh berubah, satu pihak lagi tidak percaya manusia dahaga kuasa seperti Mahathir boleh berubah.
Ada yang menggunakan alasan kuasa, mengatakan kuasa Anwar dan PKR boleh menyingkirkan Mahathir kalau beliau enggan berganjak selepas memegang jawatan perdana menteri sementara.
Banyak kemungkinan dan kalau yang timbul tentang siapa selepas Mahathir jika menang PRU14.
Tetapi yang pasti sekarang ini ialah semua pihak telah bersetuju untuk memberikan kuasa besar sebagai PM kepada Mahathir.
Mahathir sudah pernah berkuasa selama 22 tahun. Beliau amat mahir tentang kuasa.
Soalnya sekarang, berapa mahir pihak lain tentang mengambil semula kuasa daripada Mahathir? – MYNEWSHUB.CC
LIHAT VIDEO DI SINI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan