KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menggesa rakyat tidak menghukum dan menyalahkan Umno hanya kerana seorang ketua Umno bahagian terbabit ditahan kerana didapati positif dadah.
Menteri pertanian dan industri asas tani itu berkata, tindakan individu itu tidak patut dikaitkan dengan parti berkenaan.
“Organisasi itu penting, bukan individu. Individu ini juga belum dibuktikan salah.
“Baru ditangkap dan dalam proses siasatan. Sekiranya bersalah ianya hanya melibatkan seorang individu tidak boleh nyatakan ianya satu parti keseluruhan,” katanya kepada FMT ketika ditemui di Pusat Beli-belah Sunway Pyramid, semalam.
Beliau mengulas laporan seorang ketua Umno bahagian di Kuala Lumpur ditangkap pada Isnin lalu, selepas didapati positif dadah.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Datuk Seri Azam Baki berkata, ketua Umno bahagian bergelar “Datuk” itu ditangkap dalam satu operasi polis bersama SPRM di sebuah pusat karaoke di Jalan Imbi kira-kira 2 pagi Isnin.
Azam yang enggan menamakan pemimpin Umno itu mengesahkan individu itu didapati positif dadah jenis methamphetamine (syabu).
Shabery bagaimanapun menggesa semua pihak supaya tidak mengadili ketua Umno bahagian itu, selagi dia tidak didakwa atau didapati bersalah oleh mahkamah.
“Siasatan sedang dilakukan dan seseorang itu tidak dianggap bersalah sebelum dibuktikan bersalah.
“Itu hanya satu bahan digunakan, tetapi akhirnya proses membuktikan seseorang itu bersalah mesti mengikut kaedah-kaedah perundangan sedia ada. Tidak boleh buat apa-apa keputusan.”
Beliau juga tidak menolak kemungkinan ketua Umno bahagian itu disabotaj.
“Kemungkinan itu semua boleh berlaku dalam soal sekarang ada perkara nampak keganjilan.
“Bagaimanapun, saya tak ada di situ, tak ada latar belakang, cumanya saya harap tak buat kesimpulan dengan cepat.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan