KUALA LUMPUR: Sekumpulan pemimpin akar umbi Umno mendesak parti itu memecat seorang ketua Umno bahagian yang ditahan kerana positif dadah semalam.
Wakil kumpulan itu yang juga Ketua Umno Cawangan Tasik Jaya Bandar, Mejar (B) Razali Zakaria juga mahu pemimpin itu dipecat daripada semua jawatan yang disandangnya dalam parti dan kerajaan.
Katanya, satu memorandum akan dihantar kepada wakil Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor untuk tujuan itu.
“Kita minta Umno bertindak segera memecat apa jua jawatan yang disandang dalam kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) demi nama baik dan kredibiliti Umno (supaya) terus dipandang mulia di mata masyarakat, terutama menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14),” katanya di perkarangan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.
Razali yang juga ahli jawatankuasa Umno Bahagian Rembau mencadangkan parti itu membuat ujian saringan air kencing ke atas semua pemimpin dan calon Umno yang akan bertanding pada PRU14 untuk memastikan mereka bersih daripada gejala dadah.
“Saya juga menggesa segala cadangan ini diambil tindakan serta-merta dengan satu kenyataan rasmi mesti dikeluarkan pihak Umno supaya ia memberi ingatan kepada semua pemimpim Umno bahawa kepentingan parti mesti diutamakan daripada kepentingan individu,” katanya.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mengesahkan seorang ketua Umno bahagian di Kuala Lumpur ditangkap semalam selepas didapati positif dadah.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, ketua bahagian Umno bergelar “Datuk” itu ditangkap dalam satu operasi polis bersama SPRM di sebuah pusat karaoke di Jalan Imbi kira-kira 2 pagi Isnin.
Azam yang enggan menamakan pemimpin Umno itu mengesahkan individu itu didapati positif dadah jenis methamphetamine (syabu).
Sementara itu, Ketua Penerangan Umno Cawangan Pusat Bandar Taman Cempaka di Pandan, Syed Rosli Syed Harman berkata tindakan segera itu penting demi menjaga maruah parti dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
“Rakyat akan tengok…kita tak mahu Umno lindungi sesiapa, yang bersalah tetap bersalah.
“Kepentingan parti perlu diutamakan daripada individu, Umno perlu dijaga.”
Rosli turut menolak kemungkinan ketua Umno bahagian itu disabotaj mana-mana pihak.
“Bagi saya, sebagai pemimpin apa dibuat 2 pagi di kelab malam, jadi saya tak fikir ia sabotaj.
“Jadi ini bukan soal sabotaj, ini soal ‘character’ pemimpin itu sendiri.”
SPRM sahkan ketua Umno bahagian ditahan positif syabu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan