KUALA LUMPUR: Selebriti kontroversi, Azwan Ali, mengesahkan akan
bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14)
demi menentang abangnya yang juga Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri
Mohamed Azmin Ali.
Azwan ketika dihubungi, mendakwa keputusan bertanding itu dibuat
susulan sokongan banyak pihak, terutama peminat setianya dalam
memastikan perjuangan menjatuhkan Mohamed Azmin, menjadi kenyataan.
Beliau yang dikenali sebagai Diva AA, mendakwa akan bertanding di mana
sahaja, kerusi Parlimen atau DUN yang akan ditandingi Mohamed Azmin.
"Saya berjuang atas prinsip dan perjuangan untuk menjahanamkan Azmin
Ali. Ini adalah satu tugasan dan amanah yang mungkin orang lain tak
mampu nak buat.
"Walaupun dikecam menjatuhkan darah daging sendiri, terpulanglah,
kerana saya lebih mengenali pengkhianat bangsa ini," katanya dipetik
NSTP hari ini.
Azwan antara individu yang lantang mengecam Mohamed Azmin, selain
pernah membuat laporan berhubung dakwaan salah guna kuasa dan rasuah
kerajaan Selangor kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)
pada Disember tahun lalu.
Mohamed Azmin adalah penyandang kerusi Parlimen Gombak dan DUN Bukit Antarabangsa yang dimenanginya sejak 2008.
Mengulas lanjut, Azwan juga tidak menolak menggunakan strategi bersifat
peribadi bagi menewaskan Mohamed Azmin, dengan mendakwa beliau
menyimpan banyak rahsia abangnya.
"Dia pemimpin yang penuh aib, paling munafik dan teruk dalam sejarah
Selangor dan perlu dihapuskan kerjaya politiknya menjelang PRU-14.
"Kalau orang masih mahu pangkah Azmin Ali, teruskanlah tetapi tunggulah bala besar daripada Allah," katanya.
Mengulas mengenai wang yang akan digunakan pada PRU-14, Azwan
menjelaskan tidak bergantung dengan dana daripada mana-mana parti
politik.
"Saya bukan nak cakap besar, tapi duit saya berlambak dalam bank.
Andainya tewas teruk sekali pun, wang pertaruhan itu saya anggap sebagai
sedekah kepada SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya).
"Kalau tewas pun tak apa. Saya tetap tidak berkudis dan tak akan
menyesal kerana sekurang-kurangnya, peratus undi dia akan terjejas.
"Tapi jika menang, saya akan buat kenduri doa selamat terbesar dengan
rakyat kawasan saya akan dapat merasa rendang saya secara percuma, dan
tidak akan menjadi wakil rakyat yang hanya menjenguk kawasan ketika
PRU," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan