KUALA LUMPUR: PPBM hari ini menarik balik saman pemula difailkan
terhadap Pendaftaran Pertubuhan (RoS) bagi menuntut deklarasi berhubung
status pendaftaran parti itu.
Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla, yang mewakili PPBM memberitahu
pemberita bahawa Hakim Mahkamah Tinggi S. Nantha Balan membenarkan saman
itu ditarik balik tanpa sebarang kos selepas pengurusan kes saman
berkenaan di dalam kamarnya hari ini.
Peguam itu berkata PPBM menarik balik saman pemula itu berikutan parti
berkenaan telah memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman untuk
mencabar tindakan ketua pengarah RoS, Surayati Ibrahim membubarkan
sementara parti berkenaan di Mahkamah Tinggi di sini, pada 5 April
lepas. Permohonan itu akan didengar di hadapan Hakim Datuk Wira
Kamaludin Md Said esok.
Pada 22 Feb lepas, PPBM melalui setiausaha agungnya, Datuk Dr
Shahruddin Md Salleh selaku plaintif memfailkan saman pemula dengan
menamakan RoS sebagai defendan.
Dalam saman pemula itu, PPBM yang ditubuhkan pada 8 Sept 2016, memohon
deklarasi bagi menuntut RoS mematuhi segala prosedur dan tidak boleh
membatalkan parti berkenaan mengikut peruntukan di bawah Akta Pertubuhan
1966.
Plaintif juga memohon suatu deklarasi bahawa tindakan RoS yang tidak
memberi maklum balas terhadap tiga surat yang dikemukakan terhadapnya
adalah bercanggah dengan Akta Pertubuhan 1966 selain menuntut supaya RoS
menjalankan siasatan terhadap segala pertikaian berkaitan parti
berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan