Isnin, 9 April 2018

Hina Sultan : Wan Ji Dipenjara 9 Bulan






PENCERAMAH bebas, Wan Ji Wan Hussin, hari ini, dihukum penjara sembilan bulan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam kerana menerbitkan perkataan menghina Sultan Selangor, termasuk membabitkan isu agama pada 2012.

Hakim Mohd Sabri Ismail bagaimanapun membenarkan permohonan peguam untuk penggantungan hukuman itu dan membebaskan Wan Ji, 35, dengan jaminan RM5,000 sementara menunggu proses rayuan.

Wan Ji, didakwa pada 10 September 2014, menerbitkan perkataan yang menghina Sultan Sharafuddin Idris Shah, termasuk membabitkan isu agama dalam Facebook (FB) dengan nama wanji.attaaduddi.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Pejabat Perumahan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Tingkat 5, Bangunan Sultan Salehuddin Abdul Aziz Shah, Seksyen 5, di sini, pada 10 pagi, 5 November 2012.

Dia boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 iaitu denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama.

Untuk kesalahan kedua dan seterusnya, dia boleh dikenakan hukuman penjara maksimum lima tahun, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Naliatul Huzaimi Ab Rasip ketika berhujah, berkata tertuduh didakwa menerbitkan enam penerbitan di FB, yang menghina Sultan Selangor.

“Dalam kes ini, tertuduh membuat penerbitan itu dalam FB. Penerbitan dalam FB boleh dicapai di serata dunia.

“Penggunaan ayat dalam penerbitan itu adalah kasar, bukan saja terhadap Sultan Selangor, malah kepada mana-mana individu.

“Saya mohon mahkamah ini dalam menjatuhkan hukuman untuk mempertimbangkan setiap perkataan digunakan tertuduh dalam penerbitan menghasut itu terhadap Sultan Selangor,” katanya.

Naliatul Huzaimi berkata, baru-baru ini, undang-undang membabitkan berita palsu turut dibentangkan di Parlimen, ia sekali gus menunjukkan kerajaan serius dalam membendung berita yang tidak benar.

Sementara itu, peguam Mohd Radzlan Jalaludin yang mewakili tertuduh memberitahu mahkamah, tertuduh penanggung tunggal keluarganya yang mempunyai lima anak dan seorang isteri yang tidak bekerja.

Katanya, tertuduh sebelum ini adalah penceramah bebas, namun sejak lapan bulan lalu dia bekerja sebagai Pegawai Penerangan di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

“Tidak pasti sampai bila beliau akan bekerja di situ kerana Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang akan dibubarkan esok,” katanya.

Mohd Radzlan berkata, jika tertuduh dipenjarakan, sukar untuk isterinya yang menghidap kencing manis untuk menanggung anak mereka yang berusia antara satu bulan dan 13 tahun.

Penceramah Bebas, Wan Ji Wan Hussin keluar dari mahkamah selepas dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam bermula hari ini apabila didapati bersalah menerbitkan penerbitan menghasut bagi menghina Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah melalui laman sosial Facebook pada 2012 – Hmetro

Tiada ulasan: