Oleh Athirah Hanapiah
PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad akur PPBM yang dipimpin beliau
'tidak wujud' untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tetapi enggan
mengesahkan sama ada ia akan merayu keputusan Pendaftar Pertubuhan (RoS)
membubarkan sementara parti itu.
"PPBM telah diisytiharkan sementara, jadi saya faham sementara itu
bermaksud 30 hari dan 30 hari ini adalah tempoh sepanjang pilihan raya
ini.
"(Jadi) PPBM tidak akan bertanding pada PRU kali ini dan kita hormati
keputusan RoS itu," katanya dalam satu sidang media selepas menghadiri
mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (MPPH) di sini, hari ini.
Dr Mahathir enggan memberitahu sama ada PPBM akan mengemukakan rayuan
terhadap notis RoS membubar sementara parti itu kerana tidak
mengemukakan dokumen mengenai urusan perjalanan parti itu sejak
ditubuhkan.
Dr Mahathir seterusnya memaklumkan kesemua calon parti itu akan bertanding sebagai calon bebas dengan menggunakan logo PKR.
"Calon PPBM akan menjadi calon bebas dan mereka akan mendapatkan
kebenaran daripada PKR untuk membenarkan kita menggunakan logo itu.
"Jadi kamu akan nampak PH akan ada tiga parti sahaja (PKR, Amanah dan
DAP) yang secara sah menggunakan logo PKR dan sekurang-kurang kesemua
160 calon bebas juga akan menggunakan logo parti itu," katanya lagi.
Sebelum ini Ketua Pengarah RoS, Surayati Ibrahim berkata, PPBM diberi
30 hari untuk membuat rayuan terhadap keputusan itu namun perlu
mengemukakan semua dokumen-dokumen yang diminta RoS.
Jika gagal berbuat demikian, PPBM akan terbubar secara automatik.
RoS turut memaklumkan pendaftaran PH gagal diproses ekoran berpunca
daripada PPBM yang masih belum menjawab dan menyerahkan semua maklumat
dan dokumen yang diminta mengikut Seksyen 14 (2) Akta Pertubuhan 1966.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan