Rabu, 4 April 2018

Polis Singapura beri amaran supaya tidak kempen PRU-14

Norlaile Abd Rahman
Pasukan Polis Singapura sumber: Facebook Singapore Police Force
 

KUALA LUMPUR – Berdasarkan perkembangan semasa, pasukan Polis Singapura memberi amaran kepada semua rakyat asing sama ada yang melawat atau bekerja mahupun tinggal di Singapura supaya tidak menggunakan negara tersebut sebagai platform berpolitik.

“Pihak Polis Singapura menyedari ada seruan yang meminta rakyat Malaysia yang berada di luar negara menyokong aktiviti politik termasuk oleh Global Bersih sempena pilihan raya umum tidak lama lagi.

“Rakyat asing mesti mematuhi undang-undang kami.

“Perhimpunan awam di Singapura berada di bawah Akta Arahan Awam dan mengadakan atau menyertai perhimpunan awam tanpa permit polis adalah tidak sah,” tegasnya dalam satu kenyataan di laman Facebook pasukan itu hari ini.

Tambahnya, polis tidak akan memberikan sebarang permit kepada perhimpunan yang dianjurkan warga asing dengan tujuan berpolitik atau berkempen.

“Polis akan mengambil tindakan kepada mana-mana pihak yang menganjur atau menyertai perhimpunan haram,” katanya.

Sesiapa yang melanggar undang-undang tersebut akan dikenakan hukuman termasuk penamatan visa atau pas kerja. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: