KUALA LUMPUR – Pertimbangan untuk memecat ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mempertikaikan laporan yang diserahkan kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) adalah bercanggah dengan amalan keterbukaan parti itu.
Bekas Pengasas PPBM, Kamarulazaman Habibur Rahman berkata, kenyataan Presiden parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin jelas bercanggah dengan pendirian yang diuar-uarkan sebelum ini bahawa parti itu akan membawa kelainan daripada amalan UMNO yang didakwanya tidak menerima teguran ahli.
“Ini sangat ganjil apabila Muhyiddin dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan daripada UMNO dia mempersoalkan tindakan yang diambil ke atasnya kerana katanya dia menyuarakan pandangan untuk kebaikan parti.
“PPBM kemudiannya ditubuhkan sebagai platform politik yang baru, PPBM katanya parti yang baru untuk perjuangan dengan nilai-nilai yang baru kononnya ketika itu di peringkat awal dia mengatakan ahli-ahli digalak mengkritik, memberi pandangan dan mereka akan menerima kritikan-kritikan dan sebagainya,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Bukan hanya tidak mengotakan janji sebelum ini untuk menjadikan PPBM lain daripada UMNO, Muhyiddin juga ditempelak kerana mengugut ahli yang tampil bertanya dengan hujah yang berasas tentang kandungan laporan baru-baru ini.
Jelasnya, perlembagaan parti tersebut menyatakan barisan kepimpinan tidak berhak memecat ahli sekalipun yang terlibat dengan salah laku, sebaliknya membincangkan sesuatu isu dalam mesyuarat Lembaga Disiplin terlebih dahulu.
“Saya baca kononnya dia akan ambl tindakan ahli-ahli yang membawa isu ini, jadi saya tertanya-tanya. Saya mulanya tidak percaya sebab dalam perlembagaan sendiri PPBM tidak ada klausa memecat ahli, tidak ada hak sekiranya ada salah laku membawa ke mesyuarat keterbukaan terlebih dahulu.
“Ini bentuk ancaman. Presiden UMNO pun tidak membuat kenyataan akan memecat ahli kalau kita tengok kritikan Datuk Seri Najib Razak diterimanya dan tidak buat kenyataan mahu memecat dan ambil tindakan, dari sini kita boleh buat perbandingan Najib dan Muhyiddin,” tambahnya.
Dalam masa yang sama bekas Naib Presiden parti itu, Datuk Hamidah Osman menggesa Muhyiddin untuk membuat sidang media menjelaskan kandungan laporan yang telah diserahkan kepada RoS untuk mengelakkan kekeliruan dalam kalangan ahlinya.
“Sejujurnya saya tidak faham kenyataan pemimpin merumitkan keadaan dengan tindakan yang dibuat. Dalam soal ini yang sepatutnya memberikan penjelasan PPBM sendiri dengan membuat kenyataan apakah sebenarnya dokumen yang dihantar untuk menjernihkan suasana.
“Saya tidak faham, kalau perkara-perkara ini timbul tidak mustahil anak muda yang keluar akan lebih lantang bersuara kerana mereka masuk PPBM dengan mengharapkan satu parti lebih telus dan ikhlas untuk mereka percayakan,” kata Hamidah.
Sebelum ini Muhyiddin mengakui tidak akan dapat memenuhi dua daripada sembilan perkara dituntut RoS, namun pada 28 Febuari lalu viral video Setiausaha Kerja PPBM, Muhammad Suhaimi Yahya menyerahkan dokumen lengkap seperti yang diarahkan badan bebas itu. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan