Rabu, 4 April 2018

PARLIMEN MUNGKIN BUBAR JUMAAT – NAZRI

Wartawan Watan-Online
 



Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz tidak menolak kemungkinan Parlimen akan dibubarkan Jumaat ini bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, berkata ia berdasarkan penangguhan mesyuarat Kabinet yang dijadualkan pada Rabu ditunda ke Jumaat ini.

Manakala persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Negara pula akan berakhir pada Khamis ini.

“Kabinet tidak bersidang pada esok jam 9.30 pagi seperti kebiasaan kerana waktu itu kita ada sesi Parlimen. Ia ditunda pada Jumaat kalau tidak silap saya.

“Kalau ikut tekaan saya, dengan ambil kira manifesto pada 7 April 2018, Parlimen habis 5 April 2018, mesyuarat kabinet 6 April 2018.

“Saya ingat apa perlu mengadakan atau mengumumkan manifesto kalau belum ditentukan lagi tarikh Parlimen bubar,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara DS Property Development Sdn Bhd dan Wyndham Hotel Asia Pacific for Dolce Hotel di WOW KL di sini, pada Selasa.

Mohamed Nazri mengulas tarikh pembubaran Parlimen yang masih dinanti-nantikan oleh rakyat Malaysia susulan tempoh Parlimen ke-13 akan berakhir penggalnya pada 24 Jun 2018.

Mohamed Nazri juga berkata, rakyat Malaysia umumnya tidak dapat lari daripada memikirkan tarikh pembubaran Parlimen kerana tidak sabar untuk membuang undi pada PRU14.

Tiada ulasan: