THE MALAYSIAN TIMES
ALOR SETAR: Calon Barisan Nasional (BN) bagi kawasan Parlimen Langkawi, Datuk Nawawi Ahmad berkata beliau tidak gentar berhadapan dengan bekas perdana menteri selama 22 tahun, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam mempertahankan kerusi Parlimen itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ini.
Ketua UMNO Bahagian Langkawi itu berkata beliau yakin rakyat Langkawi akan membuat pilihan bijak dengan memilih anak watan yang benar-benar bekerja demi menyelesaikan masalah mereka dan tidak terpengaruh dengan sentimen nostalgia semata-mata.
“Dalam kes wakil rakyat kita perlu pilih orang yang boleh kerja siang malam bukan nak pilih seorang wakil rakyat yang hanya datang untuk bertanding dan kemudian dia berada di Kuala Lumpur,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pengumuman Calon-Calon BN Kedah di Seri Mentaloon di sini, hari ini oleh Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.
Nawawi dipilih mempertahankan kerusi Parlimen itu bersama-sama Datuk Mohd Rawi Abd Hamid dan Nor Saidi Nanyan yang juga akan mempertahankan kerusi masing-masing iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Hangat dan DUN Kuah.
Sehubungan itu, beliau berharap pengundi Langkawi memberi undi pada calon yang boleh membawa lebih banyak pembangunan untuk penduduk Langkawi dan masa depan negara.
Ditanya tentang kemungkinan penduduk Langkawi akan terpengaruh dengan isu kontroversi yang dibawakan Dr Mahathir, Nawawi berkata kebanyakan isu tersebut sudah basi dan hanya diceritakan berulang kali.
Dalam pada itu, katanya walaupun beliau yakin dengan kekuatan BN di pulau peranginan itu namun tidak memandang remeh pihak lawan.
Pada 15 April lepas, Pengerusi PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengumumkan Dr Mahathir sebagai calon pakatan pembangkang di kawasan Parlimen Langkawi yang mempunyai 42,697 pengundi berdaftar.– Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan