Khamis, 12 April 2018

MSU selesai saring calon PRU14

Oleh Ainor Rahim
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: PAS sudah memuktamadkan lebih 90 peratus barisan calonnya, kata Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Rosni Adam. 
 
Rosni memaklumkan perkembangan terbaru itu selepas Majlis Syura Ulama (MSU) selesai menyaring keseluruhan calon-calon yang dicadangkan sebelum ini. 
 
"Hampir lebih 90 peratus sebenarnya. Cumanya ada beberapa teknikal pengesahan sebab kita tidak boleh (selesai). Dari segi Majlis Syura sendiri dah selesai tapis keseluruhan calon yang dicadangkan," katanya kepada Antarapos ketika ditemui di Ibu Pejabat PAS. 
 
PAS bakal mengumumkan senarai calon secara rasmi serentak di seluruh negara pada 19 April ini bagi menghadapi PRU14. 
 
Sebelum ini MSU memaklumkan, tapisan senarai calon yang dikemukakan kepada Syura, keutamaan diberikan kepada kelayakan seseorang calon tidak melakukan dosa besar dan tidak berterusan untuk melakukan dosa-dosa kecil.
 
Entiti tertinggi itu turut menggariskan kriteria pemilihan yang ketat dan menekankan kepada aspek keperibadian dalam memilih calon bukan Islam dari Dewan Himpunan Penyokong PAS Pusat (DHPP).
 
Dalam masa sama, Dr Rosni yang juga adalah Timbalan Dewan Muslimat berkata, selaras usaha parti berteras Islam itu untuk terus memperkasakan lafaz baiah untuk mengelakkan soal lompat parti, PAS akan menggunakan teks baiah sama seperti PRU13 lepas. 
 
“Pada PRU kali ini kita akan guna teks baiah yang sama untuk semua calon di seluruh Malaysia. Cuma bagaimana teks itu belum ditentukan lagi.
 
Untuk rekod, selepas PRU13, sekurang-kurang 12 wakil rakyat PAS keluar daripada parti itu, termasuk menyertai Amanah yang diketuai Mohamad Sabu.
 
Yang terbaru berbuat demikian adalah Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar yang menyertai parti serpihannya Amanah, manakala ADUN Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman pula menyertai PKR.
 
Pada PRU14 kali ini, PAS bakal mencipta sejarah tersendiri apabila mahu meletakkan calonnya bertanding di lebih 130 kerusi parlimen seluruh negara,  memuktamadkan senarai calonnya sekurang-kurangnya tiga nama untuk satu kerusi.
 
Menerusi Gagasan Sejahtera (Gagasan), PAS dijangka bakal menghadapi pertandingan pada PRU14 secara bersendirian walaupun bakal bertanding tiga penjuru atau lebih termasuk menentang calon dari PKR atau parti gabungan pembangkang

Tiada ulasan: