KUALA LUMPUR: Penyandang Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw
mengkritik keputusan DAP yang memutuskan untuk menggunakan logo PKR pada
Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Seng Giaw berkata, kepimpinan tertinggi DAP sepatutnya mengambil kira
pelbagai faktor sebelum memutuskan untuk menggunakan logo PKR.
Ini kerana menurut bekas timbalan pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang
Negara (PAC) itu, tindakan berkenaan akan memberi impak negatif pada
parti.
“Susah payah 52 tahun berakhir dengan sekelip mata sahaja apabila
(simbol) menjadi dua bulan sabit pula, merah jadi biru kerana ditukar
warna.
"Masalahnya, sama ada rakyat akan terima atau penyokong turut bersetuju (dengan tindakan tersebut).
"Apakah simbol ini akan hilang selama-lamanya atau akan digunakan lagi.
Kalau boleh ubah simbol sekelip mata, apa lagi tidak boleh dibuat di
dalam negara.
"Benda yang terpenting pun boleh diubah dengan begitu sahaja, ini
masalah apabila manusia pandai-pandai (buat keputusan),” katanya seperti
yang dilaporkan Utusan Malaysia.
DAP menggugurkan Seng Giaw daripada menjadi calon pada PRU14 selepas 36 tahun beliau menjadi wakil rakyat di Kepong.
Kerusinya itu akan digantikan oleh anggota parlimen Segambut sementara Lim Lip Eng.
Pengguguran Seng Giaw itu dipercayai ekoran kenyataannya sebelum ini
yang mengatakan laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC)
terhadap syarikat 1MDB tidak membabitkan Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Razak.
Jumaat lalu Pakatan Harapan (PH) mengumumkan mereka akan menggunakan logo PKR pada PRU14.
Ia diumumkan secara rasmi oleh Pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad.
Bagaimanapun DAP Sarawak akan kekal menggunakan logo roket manakala PKR dan Amanah pula menggunakan logo parti reformasi itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan