GOLD COAST: Selepas enam hari menanti, kontinjen negara akhirnya
mengukir senyum apabila sebutir pingat emas bersinar di kolam terjun dan
“Negaraku” berkumandang di Optus Aquatic Centre semalam.
Terima kasih dan tahniah buat Cheong Jun Hoong-Pandelela Rinong yang
menyumbang emas acara 10 meter platform seirama selepas mengumpul 328.08
mata.
Gandingan Jun Hoong-Pandelela mempamerkan aksi cemerlang dengan
mengungguli saingan dari terjunan pertama hingga terjunan kelima
mendahului penerjun Kanada Meaghan Benfeito-Caeli McKay yang meraih
perak dengan 312.12 mata.
Pujian juga harus diberikan kepada satu lagi pasangan penerjun wanita
Leong Mun Yee-Nur Dhabitah Sabri yang menyumbang dua pingat gangsa,
masing-masing dalam acara 3m papan anjal seirama dan 10m platform
seirama.
Selain berpesta pingat di kolam renang, turut menceriakan kontinjen
negara adalah barisan gimnas negara - Amy Kwan Dict Weng, Koi Sie Yan
dan Izzah Amzan yang menghadiahkan pingat perak dalam acara berpasukan
selepas mengumpul 127.950 mata.
Gimnas negara berjaya menewaskan pasukan tuan rumah, Australia yang
mengutip 120.800 mata untuk pingat gangsa, lapor sebuah agensi portal
berita.
Dalam pada itu, jaguh lompat tinggi Nauraj Singh Randhawa dan Lee Hup
Wei gagal menyumbang pingat dalam acara lompat tinggi akhir.
Nauraj yang disebut-sebut bakal mencipta sejarah dalam lembaran
olahraga negara, sekadar menamatkan saingan di tempat kesepuluh selepas
gagal menyempurnakan lompatan 2.21m manakala Hup Wei di kedudukan
kelapan selepas gagal membuat lompatan 2.24m.
Hari ini, Jun Hoong dan Pandelela akan menyambung pemburuan pingat emas
dalam acara 10m platform individu wanita bersama penerjun pelapis
Kimberly Bong, manakala gimnas negara akan memburu pingat dalam acara
individu.
Selain itu, skuad boling padang pula akan beraksi dalam saingan suku
akhir acara perseorangan lelaki menyaksikan Muhammad Saufi Rusli
berdepan Darren Burnett dari Scotland dan Siti Zalina Ahmad berpasangan
Emma Firyana Saroji menetang Lovely Choubey dan Rupa Rani Tirkey dari
India dalam acara berpasangan wanita.
Atlet olahraga juga akan kembali beraksi dalam saingan kelayakan iaitu
Muhammad Irfan Shamsuddin dalam acara lempar cakera dan pembawa bendera
kontinjen Muhammad Hakimi Ismail dalam acara lompat kijang.
Turut beraksi atlet lompat bergalah negara Iskandar Alwi dalam acara final.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan