Isnin, 2 April 2018

‘Malaysian Malaysia’ Dalam Manifesto Pakatan Harapan ?



KUALA LUMPUR – Sikap ‘acuh tak acuh’ berkenaan agenda bumiputera yang dipamerkan Pakatan Harapan diketuai DAP dalam manifesto mereka telah menimbulkan tanda tanya me­ngenai kemampuan parti-parti Melayu dalam pakatan itu untuk membela hak dan keistimewaan orang Melayu.

Hal ini kerana, daripada 60 janji dalam manifesto yang di­umumkan pada 8 Mac lalu, hanya satu sahaja yang men­yentuh isu ekonomi bumiputera iaitu janji ke-30 – memajukan ekonomi bumiputera dan semua rakyat berbilang bangsa.

Pengerusi Biro Ekonomi dan Pemerkasaan Agenda Bumiputera, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ruhanie Ahmad berkata, janji berkenaan jelas bersifat menya­maratakan permasalahan ekonomi bumiputera dengan lain-lain permasalahan yang sama dalam kalangan bukan bumiputera.

Ujarnya, pende­katan itu ba­kal mem­bawa dua im­plikasi dengan ke­pemimpinan yang dipengerusikan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamed itu mungkin meminggirkan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Tambah beliau, kesan kedua pula merujuk kepada tindakan Pakatan Harapan diketuai DAP yang dilihat akan mengambil pendekatan meritokrasi berhubung isu ini.

“Meritokrasi ini mencermin­kan bahawa mereka sememangnya mendukung konsep ‘Malaysian Malaysia’ yang di-perjuangkan oleh DAP.

“Hal ini menimbulkan persoalan strategik mengenai struktur Pakatan Harapan. Adakah benar-benar mereka dikuasai oleh DAP? Sedarkah parti-parti komponen yang lain bahawa konsep Malaysian Ma­laysia sudah dijadikan strategi untuk menangani permasalahan ekonomi bumiputera,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini – UM

Tiada ulasan: