KUALA LUMPUR: Pemain badminton nombor satu negara, Datuk Lee Chong Wei
berjaya meraih emas acara individu lelaki Sukan Komanwel 2018, sebentar
tadi.
Dalam perlawanan yang berlangsung di Pusat Sukan Carrara, Gold Coast
tadi, dia mengalahkan pemain no. 1 dunia dari India, Srikanth Kitambi,
19-21, 21-14, 21-14 dalam perlawanan yang berlangsung selama 61 minit.
Selepas tewas di tangan lawan sama sewaktu beraksi dalam saingan
berpasukan campuran, Chong Wei turun dengan misi untuk membalas dendam,
selain mahu menyamai rekod Koo Kien Keat meraih emas kelima di pentas
Komanwel.
Bagaimanapun, aksi sengit dalam set pertama membuktikan kekuatan
fizikal yang dimiliki Srikanth menjadi pemisah apabila menundukkan
pemain nombor satu negara itu 21-19.
Tersentak dengan kekalahan itu, Chong Wei memperkemaskan permainan
untuk mendahului 5-0 di awal set kedua, sebelum Srikanth bangkit untuk
menjadikan kedudukan 7-5.
Aksi yang konsisten sambil mengurangkan kesilapan mudah membolehkan
Chong Wei terus meraih mata demi mata untuk mengheret pemain nombor satu
dunia itu ke set penentuan, selepas menang 21-14 dalam tempoh 21 minit.
Bersambung ke set ketiga, Chong Wei bermula dengan langkah kanan,
apabila berada di depan dengan mata 7-1, sebelum menjarakkan pendahuluan
kepada 16-8.
Pemain berusia 35 tahun itu mengesahkan kutipan emas keenam buat
Malaysia apabila menamatkan set penentuan 21-14, sekali gus melengkapkan
emas kelima peribadi dalam saingan Komanwel.
"Saya tidak begitu memikirkannya kerana ini adalah penampilan terakhir
di Komanwel, jadi saya mempertaruhkan segalanya. Lawan adalah pemain
nombor satu dunia, sukar dikalahkan dan saya tewas di tangannya dalam
acara berpasukan.
"Untuk bangkit, saya memerlukan mental yang sangat kuat, terutamanya
selepas tewas di set pertama. Saya tidak berputus asa dan terus cuba.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan