Oleh Siti Nur Azizah Mohd Zaini
SHAH ALAM: PAS yakin mampu mempertahankan kerusi DUN Paya Jaras pada
Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kerana yakin Allah akan membantu pihak
yang berusaha memartabatkan agama Islam.
Itu keyakinan Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Selangor Ahmad Dusuki Abd
Rani selepas ditanya apakah partinya mampu menang sekali lagi ke atas
kerusi DUN itu pada PRU14.
"Asasnya jika kita tolong agama Allah, Allah akan tolong agama kita.
"Allah dah sebut macam tu, yang bermakna 'dan Allah akan tetapkan
perdirian dia' jadi kita serahlah kepada Allah mudah-mudahan," katanya
ketika dihubungi Antarapos.
Kerusi DUN Paya Jaras pada PRU13 dimenangi PAS menerusi penyandangnya Khairuddin othman.
Bagaimanapun Khairuddin bertindak keluar parti dan menyertai PKR, minggu lalu.
Pimpinan tertinggi PAS baik peringkat negeri atau Pusat sebelum ini
menyifatkan tindakan Khairuddin keluar parti sebagai satu proses
pemutihan.
Malah ada antara mereka yang menjangkakan kemasukan Khairuddin ke PKR
akan menambah krisis dalaman Pakatan Harapan (PH) Selangor yang sedia
berselisih berhubung isu agih kerusi.
Sehingga kini, PH Selangor masih berebut enam kerusi - Seri Serdang,
Lembah Jaya, Dusun Tua, Sungai Panjang, Sungai Burong dan Kota
Damansara.
Dusuki kemudiannya ditanya perihal keputusan Majlis Agama Islam
Selangor (MAIS) yang membenarkan beliau terus mengajar agama di negeri
itu.
"Syukur alhamdullilah. Jadi bila saya bawa kerja agama, saya serahlah kepada Allah yang nak menentukan kerja.
"Yang penting sekarang ini, kita laluilah pilihan raya kita dengan tenang dan lapang, InsyaAllah," katanya.
MAIS sebelum ini menggantung sementara tauliah Dusuki untuk mengajar
agama di Selangor susulan kontroversi doa yang dibacanya sempena
sambutan 10 tahun PAS berada dalam kerajaan negeri itu pada malam Sabtu.
Penggantungan tersebut telah ditarik balik pada 12 April dan
ditandatangani oleh Mohd Shahzihan Ahmad, Setiausaha Jawatankuasa
Tauliah MAIS.
Beliau juga diingatkan supaya mengelakkan memberi kenyataan yang
berunsur 'taasub' dan kebencian secara langsung atau tidak langsung yang
melibatkan umat Islam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan