Oleh Zeanaaima Mohd Yusof
SHAH ALAM: Tindakan bekas wakil rakyat PAS, Khairuddin Othman
meninggalkan parti dan menyertai PKR tidak akan mempengaruhi kepimpinan
PAS serta ahli akar umbi di Selangor.
Itu keyakinan Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Abdul Samad selain
menyifatkan perkembangan itu tidak akan memberi kesan besar kepada
partinya di negeri itu.
Justeru Iskandar menafikan dakwaan yang mengatakan terdapat wakil rakyat PAS akan mengikut jejak langkah ADUN Paya Jaras itu.
“Kesan perpindahan ADUN Paya Jaras adalah terhad kepada kawasan Paya
Jaras sahaja. Ia tidak akan memberi kesan yang besar kepada PAS di
kawasan-kawasan lain di Selangor.
“Saya yakin tidak ada lagi ADUN PAS Selangor yang akan menyeberangi ke PKR atau parti-parti lain.
"Oleh itu dakwaan bahawa terdapat ADUN yang akan keluar parti adalah
tidak benar sama sekali,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Khairuddin pada Ahad mengumumkan keluar daripada PAS untuk menyertai
PKR dalam satu ceramah yang turut dihadiri Menteri Besar Selangor, Datuk
Seri Mohamed Azmin Ali, di Sungai Buloh.
Khairuddin ketika dihubungi Antarapos semalam berkata buat masa ini
tidak timbul isu sama ada beliau akan terus mempertahankan kerusi DUN
Paya Jaras itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Namun Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) Selangor, Dr Xavier
Jayakumar yang juga dihubungi Antarapos berkata tiada jaminan untuk
Khairuddin diturunkan sebagai calon pada pilihan raya kali ini.
Iskandar dalam itu berkata sebagai naib presiden yang ditugaskan
memantau Selangor, PAS negeri diminta mengemukakan laporan lengkap
tentang kemasukan Khairuddin ke dalam PKR.
Iskandar berkata lagi PAS yakin akan dapat mempertahankan kerusi Paya
Jaras kerana mendakwa kemasukan Khairuddin ke PKR hanya akan menimbulkan
konflik dalaman PH.
“Saya yakin PAS akan dapat mempertahankan kerusi Paya Jaras.
“Kemasukan ADUN Paya Jaras akan menimbulkan konflik dalaman kepada
Pakatan Harapan jika bekas ADUN Paya Jaras itu dicalonkan semula, maka
AMANAH akan kehilangan kerusi tersebut.
“Ini bermakna calon Amanah yang bercita-cita untuk bertanding di situ
akan kecewa. Krisis akan tercetus dan boleh merebak ke tempat-tempat
lain,” ujar Iskandar lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan