Oleh Muhammad Ridz Effandy Ibrahim
SHAH ALAM: ADUN Meru, Dr Rani Osman menolak desas-desus kononnya
terdapat wakil rakyat PAS yang bakal mengikut jejak ADUN Paya Jaras,
Khairuddin Othman melompat parti dan menyertai PKR.
"Itu tidak betul, sekali lagi tidak betul. Ini satu fitnah. Cukup la
dia seorang (lompat parti)," katanya ketika dihubungi Antarapos.
Semalam Antarapos menghubungi Khairuddin bertanyakan maklum balas yang
diterimanya selepas memilih untuk meneruskan perjuangan politiknya
dengan PKR.
Beliau kemudiannya mengesahkan ada mendengar khabar bahawa terdapat
kepimpinan dan ahli akar umbi PAS Selangor yang menghubunginya dan
menyatakan hasrat untuk menyertainya dalam parti baru.
Khairuddin sebelum itu mengumumkan beliau keluar PAS dan melompat ke
parti PKR dalam satu majlis ceramah yang turut dihadiri Menteri Besar
Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Pada 2013, bekas setiausaha PAS negeri itu memenangi kerusi DUN Paya
Jaras apabila menewaskan calon BN Muhammad Bushro Mat Johor dengan
majoriti 5,522 undi.
Bagaimanapun selepas beberapa bulan Khairuddin memegang jawatan dalam
PAS negeri, beliau digugurkan daripada barisan kepemimpinan berikutan
kerap dilihat 'mesra' dengan pemimpin Pakatan Harapan (PH).
Mengulas lanjut, Rani berkata Khairuddin bakal melalui jalan sukar dan
besar kemungkinan tidak akan diturunkan sebagai calon pada Pilihan Raya
Umum ke-14 (PRU14) 9 Mei depan.
"Saya pun tahu, (sama ada) dia (Khairuddin diberi kerusi atau tidak).
Jika diberi kerusi pun (untuk) bertanding, orang PKR akan marah.
"Takkan hari ni masuk PKR dengan tak buat kerja tiba-tiba dapat kerusi bertanding, orang PKR mesti akan marah.
"Bukan laluan mudah buat Khairuddin. Tapi itu hal mereka (PKR), biarlah," katanya.
Rani kemudiannya memberitahu Antarapos, PAS Selangor akan mengadakan
mesyuarat tergempar malam ini bagi membincangkan mengenai isu
berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan