SEREMBAN: Kementerian Pendidikan telah mengeluarkan satu surat amaran
kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Tuanku Abdul Rahman, Gemas, atas
kecuaian sehingga menyebabkan seorang pelajar perempuan maut akibat
terkena bilah pisau traktor mesin rumput Februari lalu.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Pkharuddin Ghazali,
berkata surat berkenaan dikeluarkan pada bulan ini kepada sekolah kerana
membenarkan dua aktiviti berjalan serentak di padang sekolah iaitu
raptai hari sukan dan pemotongan rumput.
"Pampasan insurans Takaful daripada kementerian sebanyak RM5,500 telah
diberikan kepada keluarga mangsa pada 23 Feb lepas," katanya kepada
Bernama selepas merasmikan Majlis Pelancaran Gerakan Massa: Penghargaan
"Terima Kasih Cikgu" peringkat Negeri Sembilan sempena Sambutan Hari
Guru 2018, di sini, pada Sabtu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi, 13 Feb lepas, Nur Afini
Roslan, 14, meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua rakannya
Abdullah Hazlan, 14, dan Mohd Farhan Reza Badrol Hesam, 13, cedera
terkena bilah pisau traktor mesin rumput di padang sekolah itu ketika
menyertai raptai perbarisan sukan.
Terdahulu, majlis itu disertai seramai 500 orang terdiri daripada ibu bapa, Persatuan Ibu Bapa dan Guru, serta warga pendidik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan