KEADILAN DAILY
Naib Presiden KEADILAN Nurul Izzah Anwar hari ini menggesa orang ramai agar terus konsisten berjuang untuk negara sempena genap 19 tahun penubuhan KEADILAN pada 4 April 1999.
Seruan tersebut dibuat anggota Parlimen Lembah Pantai itu dalam kenyataan beliau sempena ulang tahun penubuhan parti ini.
“19 tahun lamanya kita melayari perjuangan
dan meniti pelaksanaan agenda Reformasi demi rakyat supaya kekayaan negara tidak berlegar di kalangan mereka yang terpilih.
“19 tahun lamanya kita memperjuangkan demokrasi negara dengan memupuk perpaduan, kecintaan dan keadilan bukan menyemai kebencian dan perkauman.
“19 tahun lamanya, tidak saya terfikirkan sewaktu 4 April 1999, hari ini, setelah hampir dua dekad, kita di sini.
“Perjuangan akan kita teruskan! Lawan tetap lawan! Kerana #MasaDepanMilikKita!” kenyataan beliau dipetik.
KEADILAN bermula dengan gerakan Reformasi pada 1998 selepas Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat sebagai timbalan perdana menteri.
Ia akhirnya membentuk penubuhan Pergerakan Keadilan Sosial (Adil) yang diterajui oleh Datuk Seri Dr. Wan Azizah, isteri Anwar Ibrahim.
Adil cuba didaftarkan sebagai sebuah parti politik namun usaha tersebut digagalkan oleh Pendaftar Pertubuhan.
Akhirnya pendokong-pendokong reformasi mengambil keputusan untuk mengambil alih sebuah parti sedia ada iaitu Ikatan Masyarakat Islam Malaysia dan menukar nama sebagai Parti Keadilan Nasional.
Dalam PRU 1999, Parti Keadilan Nasional berjaya memperoleh 5 kerusi parlimen dan 4 kerusi Dewan Undangan Negeri.
Selepas pilihan raya 1999, kesedaran timbul tentang keperluan Parti Keadilan Nasional dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) bergabung, berdasarkan komitmen mereka yang sama terhadap Reformasi, menentang ketidakadilan dan penyalahgunaan kuasa.
Akhirnya pada 3 Ogos 2003 penggabungan tersebut berjaya didaftarkan dan lahirlah Parti Keadilan Rakyat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan