Datuk Seri Najib Razak menasihatkan semua penyandang kerusi Parlimen BN supaya terus wala’ dan setia terhadap parti walaupun diri mereka tidak tercalon pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) ini.
Beliau berkata demikian ketika pertemuan di kediamannya, di Seri Perdana, di Putrajaya yang bermula pada jam 9 pagi dan berakhir kira-kira sejam selepas itu.
"Kami sebagai keluarga BN perlu memegang prinsip wala'.
“Pertemuan tadi bersama Ahli Parlimen BN dan perjumpaan itu diadakan secara beramai-ramai," kata Pengerusi BN Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim yang dipetik portal Berita Harian Online.
Shahidan (foto, atas, fail) adalah antara wakil rakyat BN yang hadir dalam satu pertemuan bersama semua penyandang kerusi parlimen, hari ini.
Sementara itu, penyandang kerusi Parlimen Tapah, Datuk M Saravanan berkata, berkata amanat yang diberikan perdana menteri ialah untuk menjaga parti BN.
"Ucapan yang diberikan sangat ringkas, meyakinkan dan menanam semangat BN tidak kira dilantik menjadi calon atau tidak, kita mesti bersama BN.
"Selain itu juga, beliau (Najib) turut meminta kami mempertahankan parti dan BN demi kebaikan negara.
"Semua yang hadir gembira sebab ia menanam sifat kekitaan dalam diri ahli BN, caranya itu (mengadakan pertemuan) sangat bagus," katanya.
Saravanan (foto, bawah, fail) juga berkata pertemuan berkenaan tidak sedikit pun berbincang mengenai Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan