Isnin, 16 April 2018

Arul Kanda: Jerayawara 1MDB dorong DAP lancarkan 'bazooka'

MALAYSIAKINI

   

WAWANCARA l Menjelang pilihan raya umum ke-14, Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy telah menjelajah ke seluruh negara untuk menjelaskan isu-isu yang melanda syarikat dana negara itu, yang dijangka menjadi isu pilihan raya utama.

Dalam satu temu bual dengan Malaysiakini, beliau mendedahkan senarai panjang tempat yang beliau lawati, yang dia percaya juga menarik perhatian pembangkang.

Ini, kata Arul Kanda, mereka termasuk seperti Tony Pua dari DAP, yang digambarkannya sebagai "sahabat baiknya".

"Setiap kali dia bercakap mengenai 1MDB, dia mesti menyebut Arul Kanda, saya fikir dia sayang saya. Tapi apa yang menarik juga ialah DAP baru-baru ini melancarkan bazooka besar, dalam bentuk supremonya, Lim Kit Siang.

"Jadi, bagi saya, ia menunjukkan bahawa pembangkang benar-benar bimbang hakikat bahawa kita berkongsi maklumat dan fakta secara terbuka, dengan sesi soal jawab dan membolehkan sesiapa sahaja hadir.

"Saya fikir ini telah membuat mereka tidak stabil dan mereka menyedari bahawa mereka perlu pergi satu langkah melepasi Tony Pua dan mendapatkan Lim Kit Siang untuk tampil dan mula menyerang Arul Kanda untuk melemahkan kredibiliti kerana mereka bimbang mesej itu kini telah mulai difahami, " katanya.


Arul Kanda merujuk kepada Lim, yang awal bulan ini menuduh ketua pegawai eksekutif 1MDB itu menjaja berita palsu mengenai skandal 1MDB.

Ini selepas Arul Kanda memberitahu majalah Tempo dalam satu temu bual di Indonesia bahawa dia tidak tahu mengenai hubungan ahli perniagaan Low Taek Jho dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak atau anak tirinya, Riza Aziz.

"Saya memberikan jawapan yang benar yang saya tidak tahu mengenai fakta itu dan saya enggan membuat spekulasi, Jadi saya tidak fikir anda boleh menyalahkan saya untuk itu."

Teruskan jerayawara

Lim juga mencabar Arul Kanda untuk bertanding pada pilihan raya umum ke-14 atas "tiket 1MDB" daripada mengadakan jerayawara di seluruh negara.

Bagaimanapun, Arul Kanda berkata beliau akan meneruskan siri jerayawara tersebut.

Ditanya sama ada ini adalah satu bentuk kempen bagi pihak BN, beliau menegaskan bahawa tugasnya adalah untuk menerangkan tentang kedudukan 1MDB.

"Apa yang anda ada sekarang ialah siasatan yang sebetulnya tidak melibatkan kami secara langsung," katanya, yang dilihat merujuk kepada siasatan Jabatan Kehakiman AS (DOJ) serta siasatan di beberapa negara lain.

"Bagaimanapun, pembangkang dan media memutar perkara ini untuk mengaitkan syarikat ini dan seterusnya Kementerian Kewangan dan kerajaanh, untuk membuat mereka kelihatan tidak baik.

"Oleh itu, peranan kami adalah untuk memberikan perspektif syarikat, kisah yang berlaku dan memberi fakta. Dengan itu, maka rakyat boleh membuat keputusan berdasarkannya," kata Arul Kanda.


Tiada ulasan: