SEREMBAN: Nama Ketua Umno Bahagian Telok Kemang Tan Sri Mohd Isa Abdul
Samad antara yang dihantar sebagai calon pada Pilihan Raya Umum Ke-14
(PRU14).
Perkara itu disahkan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan yang
menghantar nama Isa sebagai calon kepada Presiden Umno Datuk Seri Najib
Razak dalam pertemuan, baru-baru ini.
Beliau berkata, pemilihan itu dibuat kerana Isa adalah Ketua Umno
Bahagian dan sudah semestinya nama beliau antara menjadi calon yang akan
bertanding.
"Memang saya hantar namanya sebagai calon tetapi kawasan mana saya
tidak tahu kerana ia akan ditentukan oleh pucuk pimpinan sama ada di
Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN).
"Sebelum ini, saya sudah menyatakan kriteria pemilihan calon mestilah
pemegang jawatan sedia ada iaitu Ketua Bahagian selain muka baharu,"
katanya pada sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Bangunan Baharu
Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ulu Kanchong di Taman Forest
Heights di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Chong Sin Woon dan
Pengerusi Lembaga Pengelola Sekolah SJKC Ladang Ulu Kanchong, Tan Yaw
Cho.
Ditanya mengenai poster Isa sebagai calon bertanding di Parlimen Port
Dickson menjadi tular, Mohamad berkata, beliau tidak mencalonkan Isa
khusus di Parlimen itu tetapi hanya menyerahkan nama sebagai calon yang
boleh dipertimbangkan untuk mana-mana kerusi.
Katanya, beliau meletakkan harapan untuk mengekalkan 22 kerusi
dimenangi Barisan Nasional (BN) pada PRU lalu, selain mahu melihat lima
hingga tujuh kerusi lain termasuk DUN Chuah dan Sri Tanjung untuk
dimenangi parti itu pada PRU-14.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan