Oleh Ainor Rahim & Athirah Hanapiah
KUALA LUMPUR: PAS telah menetapkan untuk tidak melaksanakan lafaz
bai'ah talak tiga bagi calon Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di seluruh
negara termasuk di Kelantan, namun mengekalkan lafaz bai'ah taat setia
kepada parti.
Perkara itu disahkan sendiri Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi
Awang selepas selesai mesyuarat PAS Pusat, di ibu pejabatnya, semalam.
Terdahulu, media melaporkan Abdul Hadi berkata sumpah bai'ah cerai
talak tiga bagi calonnya di Kelantan akan diteruskan lagi bagi
memastikan tiada peristiwa wakil rakyatnya lompat parti.
"Baiah semua, seluruh negara sama. Majlis Syura Ulama PAS sudah buat keputusan satu baiah.
"(Talak tiga) Tidak ada, itu tambahan negeri masing-masing (sebelum ini), (sekarang) tidak ada.
"Itu khusus berlaku di Kelantan dulu, tidak ada (lagi) (sekarang)," katanya kepada media.
Februari lalu, Majlis Syura Ulama (MSU) PAS sudah memutuskan untuk
mengekalkan sumpah bai'ah ke atas calon yang akan bertanding mewakili
parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
Bagaimanapun, Setiausaha MSU, Datuk Dr Nik Zawawi Nik Salleh berkata
keputusan berhubung sumpah bai'ah talak tiga akan mengikut keperluan dan
situasi politik negeri-negeri tertentu.
Mengulas lebih lanjut perkara itu, Naib Presiden PAS, Dr Idris Ahmad
berkata presidennya sudah menjelaskan perkara tersebut semasa
mesyuaratnya (semalam), dan kenyataannya itu sudah disalah erti media.
Jelasnya, sumpah bai'ah talak tiga tidak akan dilaksanakan di semua
negeri seperti yang telah diputuskan sebelum ini, namun mana-mana negeri
yang merasakan perlu untuk melaksanakan sumpah tersebut mesti
mendapatkan kelulusan daripada Majlis Syura Ulama (MSU) terlebih dahulu.
"Dia tidak sebut begitu, kalau ikut tadi. Tadi (mesyuarat) dia kata
kepada negeri-negeri terpulang. Umumnya kita takde baiah itu."
"Tidak ada bincang soal baiah, sebab umumnya dikeseluruhannya tidak
ada talak tiga. Tapi kalau ada setengah negeri yang nak buat itu
bermakna kena minta kelulusan Majlis Syura Ulama. Itu maksud Tok Guru
(Abdul Hadi). Umumnya tidak ada," ujarnya pula.
Isu lafaz bai'ah cerai talak tiga PAS menjadi perdebatan secara
terbuka selepas beberapa pimpinan kanan di Kelantan bertindak keluar
parti.
Namun sehingga kini status pengesahan lafaz berkenaan tidak dapat
disahkan sama ada jatuh talak atau tidak terhadap isteri masing-masing.
Lafaz itu dibuat setiap wakil rakyat PAS di negeri itu sejak 2004
ketika zaman Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan diteruskan
sehingga pilihan raya lalu.
Antara wakil rakyat PAS yang melanggar bai'ah tersebut di Kelantan
ialah Ahli Parlimen Kuala Krai Dr Mohd Hatta Ramli dan ADUN Salor Husam
Musa yang kini bersama Amanah.
Sementara itu, mengulas mengenai salah faham yang timbul, Idris
'menasihatkan' media untuk merujuk mereka terlebih dahulu sebelum
melaporkan sesuatu perkara yang tidak jelas sehingga menimbulkan salah
faham.
"Kita harapkan benda benda yang melibatkan (penting) sepatutnya mereka reconfirm balik.
"Kadang-kadang mereka pun tidak faham terma atau pun maksud yang dimaksudkan Tok Guru itu.
"Sepatutnya sebagai wartawan terutama isu yang agak sensitif ini biar
kita sahkan balik, adalah lebih baik daripada kita sebar dulu kemudian
nak tarik balik," tegas beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan